Atlet Muay Thai negara terus cemerlang, tambah 2 emas pada Kejohanan Dunia 2021

Bernama
Disember 11, 2021 19:30 MYT
Mohammad Rifdean meraih pingat emas dalam kategori Bawah 23 Elite 48 kilogram (kg) setelah menewaskan wakil Thailand Naruephon Chittra yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2019. - Gambar fail/ Bernama
BANGKOK: Skuad Muay Thai Malaysia terus menampilkan aksi cemerlang apabila meraih dua lagi pingat emas pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 di sini, hari ini.
Pencapaian dua pingat emas menerusi Mohammad Rifdean Masdor dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib pada hari terakhir kejohanan itu yang berlangsung di Stadium Nasional, menyaksikan kem negara berjaya membawa pulang lima emas secara keseluruhan.
Pada aksi hari ini, Mohammad Rifdean, 19, berjaya meraih pingat emas dalam kategori Bawah 23 Elite 48 kilogram (kg) setelah menewaskan wakil Thailand Naruephon Chittra yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2019.
Kejayaan anak kelahiran Kuching, Sarawak itu sekali gus berjaya menembus kekecewaannya pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 yang menyaksikan Mohammad Rifdean hanya meraih perak apabila kalah tipis satu mata kepada lawannya itu.
Ketika ditemui Bernama, Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai negara Bernard Radin memuji aksi ditampilkan anak buahnya itu yang berjaya mempamerkan prestasi cemerlang.
"Prestasi Mohammad Rifdean berjalan seperti dirancang. Pertarungan ini menyebelahi kami. Saya rasa ia satu perjuangan hebat, strategi yang bagus dan segalanya berlaku pada masa yang tepat," katanya.
Sementara itu, Ahmad Nor Iman Aliff, 17, memenangi pingat emas selepas menewaskan lawannya David Muradian daripada Persekutuan Muay Thai Rusia bagi kategori Remaja 16-17 tahun dalam acara 51kg.
Pada kejohanan anjuran Persekutuan Antarabangsa Muay Thai Amatur (IFMA) itu yang bermula 5 Dis lepas, Malaysia menghantar atlet berusia 10 hingga 30 tahun dalam pelbagai kategori iaitu Senior, Bawah 23 dan Remaja.
Selain Mohammad Rifdean dan Ahmad Nor Iman Aliff, tiga atlet negara yang turut menyumbang pingat emas pada kejohanan itu adalah Texas Jeremy Lo (Remaja 12-13; 44kg), Ahmad Akid Mohd Nazrul Hisyam (Remaja 12-13; 54kg) dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Remaja 11-13; 32-36kg).
Skuad Muay Thai Malaysia turut meraih empat pingat perak dan lapan gangsa menerusi kategori Bawah 23 Tahun dan Remaja.
Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi berkata beliau bangga dengan prestasi atlet Muay Thai negara pada kejohanan ini.
"Kita tidak letak sasaran pingat pada kejohanan kali ini kerana skuad Malaysia sudah hampir dua tahun tiada sebarang pertandingan berikutan pandemik COVID-19 sebaliknya atlet negara lain telah menyertai pelbagai pertandingan dan kejohanan.
"Kami gembira ... ini lebih daripada jangkaan. Kita hanya mahu mengembangkan prestasi atlet Muay Thai negara selepas pandemik COVID-19 melalui kejohanan ini," katanya.
-- BERNAMA
#atlet Muay Thai negara #Kejohanan Muay Thai Dunia #Mohammad Rifdean #Bernard Radin
;