Atlet Malaysia yang berada di 13 negara luar dalam keadaan baik - KBS

Faris Danial Razi
Mac 30, 2020 18:47 MYT
Kesemua 48 atlet negara yang kini berada di luar negara berada dalam keadaan baik dan selamat, jelas Kementerian Belia dan Sukan. - Bernama
Kesemua 48 atlet negara termasuk atlet profesional dan atlet-atlet di bawah Persatuan-Persatuan Sukan yang kini berada di luar negara berada dalam keadaan baik dan selamat.
Bagaimanapun Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan media berkata pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan dan keperluan dari semasa ke semasa serta bersedia untuk membantu atlet-atlet Malaysia di luar negara untuk pulang ke tanah air sekiranya perlu.
“Para atlet berkenaan masih berada di luar negara adalah disebabkan mengikuti pengajian tinggi/bersekolah, mewakili kelab luar negara sebagai atlet professional, mengikuti latihan atau pertandingan, bermastautin tetap dan bercuti.
“Kesemua mereka berada di 13 buah negara berlainan seperti Thailand, Amerika Syarikat, Australia, Jerman, UK, Jepun, Kanada, Sweden, Perancis, Switzerland, Singapura, Chinese Taipei, dan Indonesia,” jelas kementerian itu pada Isnin.
Daripada jumlah atlet tersebut, seramai 25 orang terlibat dalam Program Podium (Sukan Renang, Berbasikal, Olahraga, Muay Thai dan Golf) manakala 23 orang di luar Program Podium (Lawan Pedang, Hoki Ais, Bola Sepak, Luncur Ombak, Mendayung, Skating, Golf, Skate Board, dan Ragbi).
Di samping itu, atlet-atlet Malaysia mahupun atlet persendirian atau persatuan dan keluarga mereka adalah dinasihatkan juga untuk berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini dan juga sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan.
Bagaimanapun Menteri Luar Negeri menasihati agar rakyat Malaysia yang berada di dua negara (Amerika Syarikat dan UK) untuk membuat perancangan awal untuk pulang ke Malaysia sebelum negara itu mengenakan perintah berkurung.
BACA: KBS agih topeng muka, cecair pembasmi kuman kepada pekerja ekonomi GIG
BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: KBS umum tujuh inisiatif ringankan beban belia
#atlet Malaysia #atlet professional #coronavirus #COVID-19 #KBS #Kementerian Belia dan Sukan #rakyat #rakyat Malaysia #sukan
;