Atlet Malaysia sedang berjuang di Rio - CDM
Bernama
Ogos 3, 2016 15:31 MYT
Ogos 3, 2016 15:31 MYT
Ketua kontinjen Malaysia Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid hari ini menegaskan kesemua 32 atlet negara sudah bersedia memberi aksi terbaik di Sukan Olimpik Rio de Janeiro yang bermula Jumaat ini.
Menegaskan keyakinan terhadap kesediaan itu, katanya, kontinjen negara telah bersedia sepenuhnya untuk membuktikan kemampuan terutama dalam acara badminton, berbasikal serta memanah yang menjadi sandaran buruan pingat.
"Saya boleh katakan mereka tidak sabar memulakan cabaran dan saya percaya atlet ini sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik," katanya.
Berbekal keyakinan tinggi, Mohamed Al-Amin percaya Malaysia berada pada landasan tepat untuk melakukan beberapa kejutan selain sandaran pingat di bahu Datuk Lee Chong Wei dalam badminton, Pandelela Rinong (terjun) dan Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal).
"Saya jangkakan atlet sudah bersedia memberikan yang terbaik dan inilah masanya untuk membuktikan kemampuan," katanya.
Walaupun didesak memberikan sasaran dan jangkaan, beliau tetap enggan menyatakannya, sebaliknya yakin ada beberapa kejutan akan dilakukan bagi mengatasi pungutan dua pingat yang diperoleh dalam temasya Olimpik terdahulu di London, empat tahun lepas.
Tiba di bandar raya kedua terbesar di Brazil dengan kepadatan 6.5 juta penduduk, empat hari lepas bersama pasukan badminton dan atlet lain, Mohamed Al-Amin berkata kesemua 22 atlet yang telah berada di sini, sudah mula menyesuaikan diri.
"Berdasarkan lawatan dan maklum balas, semua atlet telah menyesuaikan diri dengan Perkampungan Sukan," katanya kepada media Malaysia selepas upacara menaikkan Jalur Gemilang di Perkampungan Sukan yang menempatkan lebih daripada 11,000 atlet dan pegawai dari 200 negara, pada Selasa.
Mengenai lawatannya ke lokasi latihan kontinjen negara, Mohamed Al-Amin berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan yang ada dan atlet memanah, menembak, pelayaran serta badminton, semuanya telah dapat menyesuaikan diri.
Tiada isu besar kecuali menyesuaikan diri dengan makanan di Perkampungan Sukan selain memastikan bebas doping sewaktu menjalani pemeriksaan sebelum beraksi, katanya.
"Sewaktu pertandingan antarabangsa, pelbagai makanan disediakan mengikut standard antarabangsa ... rasanya mungkin tidak sesuai dengan kita tetapi kita perlu cuba menyesuaikannya," katanya.
#Lee Chong Wei
#Mohamed Al-Amin Abdul Majid
#Mohd Azizulhasni Awang
#Pandelela Rinong
#Rio 2016
#Sukan Olimpik