Atlet Malaysia masih berpeluang sumbang pingat emas pada Jumaat
Bernama
Oktober 23, 2014 23:42 MYT
Oktober 23, 2014 23:42 MYT
Atlet Malaysia dilihat masih berupaya untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya satu lagi pingat emas sebelum temasya Sukan Para Asia di sini melabuhkan tirainya Jumaat ini.
Menurut kenyataan pengurus pasukan berbasikal lebuh raya, Ramley Ibrahim, kepada Bernama pada Rabu, beliau menyasarkan skuad berbasikal lebuh raya akan menghadiahkan emas melalui acara Perlumbaan 96km Wanita dan Lelaki B, esok.
Kontijen Malaysia terus unggul pada hari ini dengan menambah kutipan pingat pada hari keenam temasya terbesar sukan para di rantau Asia ini.
Sehingga kini, Malaysia sudah mengumpul 14 pingat emas, diikuti 20 perak dan 26 gangsa.
Malaysia kini berada di kedudukan ketujuh carta pungutan pingat manakala tempat teratas dihuni oleh kontinjen China, diikuti Korea Selatan dan Jepun.
Penambahan tiga pingat emas pada hari ini adalah melalui sukan badminton yang menghadiahkan dua pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 dan beregu lelaki SL 3,4/SU5 di Stadium Gyeyang.
Satu lagi pingat emas negara adalah melalui sukan boling padang dalam acara berpasangan campuran B8 di Incheon Grandpark Lawnbowl Venue.
Jurulatih boling padang, Bah Chu Mei berkata skuad boling padang negara menunjukkan aksi terpuji dan menepati sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) pada temasya kali ini.
Seramai 135 atlet negara bertanding dalam 15 daripada 25 acara dipertandingkan.