Atlet Malaysia ke Olimpik Rio dinasihat kekal fokus

Bernama
Julai 13, 2016 08:08 MYT
Selain atlet berprestasi tinggi, atlet yang membuat penampilan sulung serta mendapat tiket 'wildcard' juga mampu membuat kejutan. - Gambar fail
Kontinjen Malaysia dinasihatkan supaya bersikap positif dan kekal fokus semasa beraksi pada Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Brazil, untuk memburu pencapaian peribadi terbaik.
Pesanan itu diberikan Pengarah Program Podium Tim Newenham, yang mahukan atlet negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, yang boleh menjejaskan prestasi mereka.
"Mereka perlu bersedia dengan segala kemungkinan... jangan fikir segalanya akan berjalan mengikut perancangan. Bersiap sedia dan kekal fokus," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma MOM di sini pada Selasa.
Pakar sains sukan dari Britain itu seterusnya berkata selain atlet berprestasi tinggi, atlet yang membuat penampilan sulung serta mendapat tiket 'wildcard' juga mampu membuat kejutan meraih podium pada temasya sukan itu.
"Matlamat setiap atlet ialah memburu pencapaian terbaik mereka. Saya menjangkakan jika mereka boleh melakukan catatan peribadi terbaik dan berlaku perkara di luar jangkaan, ia sesuatu yang baik untuk kontinjen Malaysia," katanya.
Sementara itu, Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar mengesahkan 32 atlet akan membawa cabaran negara pada temasya sukan itu selepas pelari pecut Zaidatul Husniah Zulkifli (100 meter) dan perenang Phee Jing En (100m kuak dada) diberikan tiket wildcard.
"Kesemua atlet akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Julai ini, dan pada keesokan hari majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, akan diadakan di Istana Negara," katanya.
Semalam, empat pemain golf - Danny Chia dan Gavin Kyle Green dalam kategori lelaki serta Kelly Tan dan Michelle Koh (kategori wanita) menempah slot ke Rio selepas berada dalam kalangan 60 pemain yang disenaraikan berdasarkan merit oleh Persekutuan Golf Antarabangsa.
Sebelum ini, 26 atlet layak ke temasya sukan itu berdasarkan merit iaitu Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Ikram Joni (memanah); Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa (berbasikal); Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong, Ng Yan Yee (terjun); Khairulnizam Mohd Affendy, Nur Shazrin Latiff (pelayaran).
Selain itu, Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Tee Jing Yi, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei (badminton); Johnathan Wong Guanjie (menembak); Welson Sim (renang); Nauraj Singh (olahraga); Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) dan Heidi Gan dalam acara 10km renang maraton wanita.
Sukan Olimpik Rio de Janeiro dijadual berlangsung dari 5 hingga 21 Ogos.
#atlet Malaysia #Olimpik Rio #persiapan atlet #program podium #Tim Newenham
;