Atlet ke Sukan Komanwel tidak terlepas saringan doping
Bernama
Januari 24, 2018 04:59 MYT
Januari 24, 2018 04:59 MYT
Atlet negara yang bakal menggalas cabaran negara di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, tidak terlepas daripada menjalani saringan doping menjelang dan semasa termasya sukan itu berlangsung dari 4 hingga 15 April ini.
Ketua kontingen negara ke Sukan Komanwel, Huang Ying How berkata ujian ke atas alet berkenaan adalah penting bagi memastikan mereka bersih daripada penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
"Kebanyakan atlet perlu diberi pendidikan mengenai perkara ini kerana semua atlet tidak mahu terperangkap dengan isu doping," katanya pemberita selepas melawat sesi latihan skuad gimrama, gimnastik dan ping pong di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini pada Rabu.
Malaysia akan menyertai 11 daripada 25 jenis sukan yang dipertandingan dengan saiz kontingen seramai 175 atlet iaitu 99 atlet lelaki dan 76 wanita.
-- BERNAMA