Atlet cacat penglihatan berjaya rentas selat Pulau Pinang

Bernama
Mei 19, 2013 16:01 MYT
Seorang atlet Paralimpik berjaya berenang menyeberangi Selat Pulau Pinang sejauh lima kilometer selepas bergelut melawan ombak selama dua jam 20 minit dan 30 saat.
Kejayaan Faiq Adnan, 23, itu telah merealisasikan impian beliau yang dipendam sejak lima tahun lalu sekali gus mencatat rekod peribadi buat dirinya.
Menurut Faiq beliau menghadapi saat getir pada 40 minit pertama apabila sangkar renangnya pecah akibat dipukul ombak kuat menyebabkan beberapa bahagian badannya disengat obor-obor, setelah memulakan cabaran di Pelabuhan Swettenham pada 9 pagi.
"Tetapi saya nekad untuk terus berenang dan melupakan kesakitan itu kerana ini adalah impian saya sejak dahulu lagi walaupun mula rasa putus asa pada mulanya," katanya pemberita ketika ditemui di Pantai Bagan Ajam.
Pelajar tahun dua jurusan Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya (UM) itu berkata sangkar renang itu dapat dibaiki dalam masa 15 minit menyebabkan beliau tiba agak lewat dari waktu yang disasarkan.
Faiq anak kelahiran Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, berkata dorongan dan kata-kata semangat dari jurulatih, Datuk Ooi Win Juat yang bertindak sebagai pengiring dan penunjuk arah turut membakar semangatnya untuk menamatkan cabaran itu.
"Datuk Ooi telah menjadi jurulatih saya semasa belajar di Sekolah Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam semasa saya darjah tiga lagi dan walaupun sibuk dengan kerjayanya sendiri kini, beliau tetap meluangkan masa membantu latihan saya," kata Faiq yang juga atlet Paralimpik Pulau Pinang.
Beliau yang telah bergiat akktif dalam sukan renang sejak berusia sembilan tahun berkata bagi menjayakan misi itu beliau berlatih secara konsisten sejak 2011.
"Saya memang berlatih secara konsisten iaitu berenang sebanyak 40 pusingan di kolam renang empat kali seminggu untuk mengekalkan stamina," katanya menambah latihan kelajuan dan ketangkasan di laut dijalankan sejak enam bulan lepas.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berharap kejayaannya itu dapat memberi inspirasi kepada golongan kurang upaya agar berani mencabar diri sendiri untuk melakukan aktiviti yang biasanya dilakukan mereka yang normal.
Untuk cabaran seterusnya, Faiq berkata beliau berazam merentasi Selat Inggeris pada awal tahun 2015.
Program anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (Pesron) itu turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin, Jabatan Meteorologi dan Puspakom.
#Bagan Ajam #faiq adnan #OKU #UM
;