Atlet boling wanita negara peluk Islam
Sinar Harian
September 22, 2023 18:39 MYT
September 22, 2023 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: ATLET boling wanita negara, Nerosha Keligit Thiagarajan telah melafazkan dua kalimah syahadah untuk menjadi saudara baharu Islam pada Jumaat.
Nerosha mengakui gembira dan tenang selepas melafazkan syahadah di Bilik Hidayah, Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan.
Menurutnya, dia tertarik dengan Islam kerana kehidupannya sebagai seorang atlet dikelilingi dengan rakan-rakan Muslim yang mengerjakan ibadah Islam.
“Saya mempercayai dan meyakini dengan keesaan ALLAH SWT,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook Perkim.
Dia memeluk Islam di hadapan Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) Perkim Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Nerosha berkata, penghijrahannya itu merupakan keputusan yang telah lama difikirkan secara mendalam dan telah mendapat restu oleh ahli keluarganya serta rakannya.
Dia pernah mengharumkan nama Malaysia dengan meraih emas Kejohanan Dunia pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat selain memenangi perak pada temasya Sukan Sea 2021 di Hanoi selepas menduduki tempat kedua dalam acara berpasukan wanita.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian