Atlet berprestasi tinggi diberi keutamaan sertai tiga temasya sukan - KBS

Bernama
Disember 11, 2021 22:59 MYT
Ahmad Faizal berkata, KBS tetap akan memastikan atlet terlibat diberi latihan dan kelengkapan mencukupi untuk mengharungi saingan Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Sukan Komanwel di United Kingdom dan Sukan Asia di China. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan atlet berprestasi tinggi akan tetap diberikan keutamaan bagi menghadapi tiga temasya sukan antarabangsa tahun depan, kata menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata walaupun tiada peruntukan khusus untuk sukan ketika pembentangan Bajet 2022 khususnya melibatkan Program Podium, KBS tetap akan memastikan atlet terlibat diberi latihan dan kelengkapan mencukupi untuk mengharungi saingan Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom dan Sukan Asia di Hangzhou, China.
"Dalam keadaan sekarang, kerajaan lebih fokus kepada kesejahteraan ekonomi rakyat namun usah bimbang, KBS bersama Majlis Sukan Negara akan meneruskan segala aktiviti seperti dirancang tahun depan," katanya pada sidang media semasa menghadiri perlawanan amal bola sepak melibatkan 'All-Stars' Malaysia-Jepun menentang Malaysia Deaf Tigers (MDT).
Ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Oktober lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM10 juta khusus untuk meningkatkan program latihan atlet para dan melaksanakan Liga Sukan Para sebagai persediaan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.
Peruntukan RM159 juta pula bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, RM50 juta bagi pembudayaan gaya hidup aktif, 'Fit Forever' serta Hari Sukan Negara (HSN), dan RM20 juta bagi pembangunan e-sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.
Sementara itu, Ahmad Faizal memuji inisiatif Yakult (Malaysia) Sdn Bhd yang menganjurkan perlawanan amal itu bagi menyemarakkan pembudayaan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, beliau berharap syarikat swasta lain dapat mencontohi Yakult dalam membantu persatuan sukan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan dana demi kelangsungan atlet mereka.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd Hiroshi Hamada gembira memandangkan mereka mencapai sasaran dana RM300,000 daripada perlawanan hari ini.
Beliau berharap lebih banyak syarikat akan tampil menghulurkan bantuan bukan sahaja kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) malah persatuan sukan para secara keseluruhan.
Perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang bertujuan membantu MSDeaf mengumpul dana bagi pembangunan sukan tahun depan menyaksikan 'All-Stars' Malaysia-Jepun menewaskan MDT 6-1.
-- BERNAMA
#atlet berprestasi tinggi #Ahmad Faizal Azumu #bajet 2022 #program podium
;