Atlet angkat berat gagal ujian doping sebabkan penggantungan persatuan di Sukma
Bernama
September 13, 2022 15:39 MYT
September 13, 2022 15:39 MYT
JOHOR BAHRU: Mana-mana atlet angkat berat yang gagal ujian doping menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 pada Jumaat ini, akan menyebabkan semua penyertaan persatuan angkat berat negeri terlibat pada temasya itu digantung.
Amaran keras oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) itu dibuat supaya tiada atlet angkat berat terjebak dengan penyalahgunaan barangan terlarang.
Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata persekutuan itu memandang serius isu berkenaan dan tidak mahu terpalit lagi seperti yang berlaku pada Sukma edisi ke-19 di Perak apabila dua atlet angkat berat gagal saringan ujian doping sekali gus mencemarkan imej sukan angkat berat.
"Dalam sehari dua ini ujian doping akan keluar. Jika ada mana-mana atlet yang didapati gagal ujian tersebut, maka PABM akan menggantung penyertaan persatuan dari negeri terlibat untuk Sukma kali ini.
"Jangan cemar imej negeri yang anda wakili. PABM akan bertindak tegas sekiranya perkara ini berulang dan tidak berkompromi sekiranya ada mana-mana atlet yang mengambil bahan larangan. Bersukanlah dengan sehabis baik, buktikan yang anda 'badang' negara yang bersih," kata beliau ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Ayub berkata sama seperti sebelum ini, PABM bekerjasama dengan ADAMAS bagi melakukan saringan ujian doping ke atas setiap atlet angkat berat sebelum dibenarkan bertanding.
Beliau berkata kos saringan ujian doping ditanggung Majlis Sukan Negeri (MSN) masing-masing dan seperti dipersetujui, ujian itu perlu bagi memastikan setiap atlet bebas daripada penyalahgunaan barangan terlarang.
"Setiap atlet harus ada jati diri dan mengelak daripada penyalahgunaan barangan terlarang. Sukma merupakan pentas bagi menonjolkan potensi dan mencungkil bakat baharu yang bakal mewarnai sukan di peringkat antarabangsa," katanya.
Menurutnya komitmen PABM cukup jelas iaitu berusaha dengan apa jua cara bagi menghalang penyalahgunaan barang terlarang dan berharap setiap atlet mengambil iktibar daripada insiden berlaku sebelum ini.
Pada temasya dwitahunan itu, seramai 126 atlet angkat berat dari 14 negeri akan menyertai temasya sukan itu yang mempertandingkan 16 kategori.
-- BERNAMA