'Atiq' hampir dijual sebelum menyerlah dalam sukan memanah berkuda

Bernama
Jun 2, 2024 14:49 MYT
Reaksi peserta Muhammad Adam Aqeem Romzi bersama kudanya 'Atiq' beraksi dalam acara memanah berkuda yang diadakan pada Festival Sukan Sunnah Antarabangsa di Pulau Sri Tujuh hari ini. - Foto Bernama
TUMPAT: Atlet memanah berkuda Muhamad Adam Azim Romzi hampir menjual satu-satunya kuda kesayangannya apabila mendapati haiwan itu tiada potensi dalam sukan lumba kuda.
"Pada asalnya 'Atiq' merupakan kuda kacukan kampung yang terlibat dalam sukan lumba kuda namun setelah beberapa kali menyertai sukan itu, kuda saya dilihat tidak berbakat dan kalah dalam sukan berkenaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Festival Sukan Sunnah Antarabangsa (Semutar) di Pantai Sri Tujoh, di sini.
Setelah berfikir panjang dan mengambil kira pandangan keluarga, pemuda berusia 19 tahun dari Kampung Kok Pasir di sini berkata, beliau berhasrat untuk menjual kuda betina berusia 10 tahun itu dengan harga lebih RM9,000.
Bagaimanapun rakannya mencadangkan agar Atiq dilibatkan dalam sukan memanah berkuda.
"Setelah menerima pandangan rakan, saya mencuba nasib dengan menyertai pertandingan sukan memanah
"Alhamdulillah, walaupun saya tidak menang dalam sukan itu, Atiq disenaraikan antara 10 kuda terbaik dalam puluhan peserta yang menyertai pertandingan itu," katanya yang meminati sukan memanah berkuda sejak empat tahun lepas.
Melihat Atiq mempunyai kelebihan dalam sukan berkenaan, beliau terus memelihara haiwan itu sehingga kini berserta tiga ekor kuda lain.
Mengenai tempoh melatih Atiq, katanya kuda itu mengambil masa hampir setahun untuk menyesuaikan diri dengan acara itu.
"Seperti kita tahu Atiq pada asalnya merupakan kuda yang dilatih untuk lumba kuda dan untuk beralih kepada sukan memanah berkuda mengambil masa sedikit.
"Sebagai contoh melatih kuda cara untuk masuk ke dalam trek bagi menentukan jarak ke tempat sasaran pemanah, had kelajuan yang diperlukan dalam trek dan lain-lain lagi," katanya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.
Selain beliau, adiknya Muhammad Adam Aqueem, 15, turut bergiat dalam sukan itu.
"Pada mulanya saya tidak yakin untuk menunggang kuda sambil memanah kerana risau terjatuh namun atas galakan kedua ibu bapa serta abang, saya mencuba dan kini minat," kata Muhammad Adam Aqueem yang juga anak kedua.
Dua beradik itu merupakan antara peserta muda sukan memanah berkuda pada festival tersebut yang bermula Khamis lepas hingga hari ini.
Melibatkan lapan negara iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia, Thailand, Taiwan, Mongolia, Korea Selatan dan Turki, kejohanan itu turut mengetengahkan acara memanah di lapangan, amuk parang dan langkah pendekar yang menggunakan senjata.
-- BERNAMA
#atlet memanah berkuda #Muhamad Adam Azim Romzi #Atiq #sukan lumba kuda
;