Astro Kem Badminton berjaya latih 18,000 bakat muda Malaysia
Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 30, 2022 13:10 MYT
Julai 30, 2022 13:10 MYT
KUCHING: Astro Kem Badminton (AKB) terus melakar kejayaan dalam usaha padu menjulang taraf pendidikan anak-anak Malaysia melalui bidang sukan sejak dilancarkan tahun 2012 lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan berkata, AKB telah berjaya melatih kira-kira 18,000 murid-murid sekolah menerusi latihan dan program pembangunan pelapis sukan badminton di peringkat nasional.
Jelasnya, AKB telah membentuk satu jati diri serta disiplin yang unggul dalam kalangan belia negara untuk mendepani pelbagai bentuk cabaran dan berani bangkit daripada apa jua kegagalan.
“Melalui semangat kesukanan di dalam AKB, anak-anak ini akan belajar untuk menjadi lebih tabah, berdisiplin, berani bangkot dari kegagalan, serta belajar dari kesilapan dan belajar menrima baik dan buruk masing-masing.
“Sejak sepuluh tahun lalu, AKB telah melatih seramai 18,000 anak murid, kerana kita akan sentiasa memantau kesemua program yang dianjurkan melalui keputusan seterusnya tahap kejayaannya, jangan hanya buat sahaja tapi keputusannya tidak baik,” katanya selepas merasmikan AKB Kem Pemilihan 2022 di Arena Sukan Simpang Tiga, Kuching di sini hari ini.
Terdahulu jelajah terakhir kem pemilihan itu telah berjaya diadakan di empat lokasi di seluruh negara termasuk Johor, Pulai Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah dengan lebih 1,200 penyertaan.
“Suka saya kongsikan juga 60 peratus atlet pasukan muda kebangsaan adalah alumni AKB dan antaranya pemain badminton negara Jacky Kok yang dilahirkan melalui program ini seterusnya menjadi siapa dia hari ini.
“Kita sentiasa bersedia untuk menjadi pendorong untuk kejayaan ini di peringkat awal, membina pendidikan anak-anak daripada sukan seterusnya melahirkan juara baharu untuk negara melalui AKB,” ujarnya lanjut.
Seperti tahun sebelumnya, 30 orang peserta terbaik daripada AKB akan menjalani latihan intensif di Tokyo, Jepun sebagai salah satu program kerjasama dan pembangunan badminton antara dua negara.
Penganjuran program akhir yang besar untuk kesemua 60 peserta AKB dari seluruh negara akan diadakan di Kuala Lumpur pada Disember tahun ini.