Aston Villa buat kali pertama anjur iftar di Stadium Villa Park

Bernama
April 6, 2023 13:44 MYT
Persiapan majlis iftar di Stadium Villa Park pada Rabu. -AVFCFoundation
LONDON: Buat kali pertama kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris Aston Villa menganjurkan majlis iftar di Stadium Villa Park pada Rabu.
Beratus-ratus orang berkumpul di Villa Park di Birmingham untuk menghadiri acara yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Aston Villa dan Projek Khemah Ramadan.
Sebelum berbuka puasa, azan turut dilaungkan melalui sistem PA Villa Park, lapor Agensi Anadolu.
Berucap pada majlis itu, pengasas Projek Khemah Ramadan, Omar Salha, berkata projek itu telah menghubungkan lebih setengah juta orang daripada semua latar belakang melalui Festival Ramadan tahunan dan inisiatif perdana Open Iftar sejak sedekad lalu.
"Daripada taman awam dan dataran, ke mercu tanda yang paling digemari, budaya dan ikonik di Britain, galeri, muzium, tempat ibadat dan stadium sukan, Ramadan terbuka kepada semua dan kami amat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada komuniti masyarakat," katanya.
Menerusi mesej video sebelum majlis bermula, Ketua Pegawai Eksekutif Aston Villa, Christian Purslow berkata mereka amat berbesar hati untuk menganjurkan iftar pertama kelab itu dan mengucapkan selamat datang kepada masyarakat Islam di sekitar Villa Park.
"Kami berbesar hati untuk membuka pintu kami dan membolehkan anda berbuka puasa di Kelab Bola Sepak Aston Villa," katanya.
-- BERNAMA
#Liga Perdana Inggeris #majlis iftar #Stadium Villa Park #Projek Khemah Ramadan
;