ASTAF kagum dengan venue sepak takraw disediakan untuk Sukan Asia
Bernama
Jun 26, 2023 18:59 MYT
Jun 26, 2023 18:59 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ASTAF) kagum dengan Jinhua Sports Center Gymnasium yang akan menjadi venue untuk acara sepak takraw di Sukan Asia Hangzhou yang dijadualkan berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt.
Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata berbanding dengan Sukan Asia sebelum ini, venue kali ini mempunyai kapasiti tempat duduk yang selesa, kawasan berwarna-warni, bersih dan selamat untuk atlet dan juga penonton.
Abdul Halim yang melihat persediaan Kejohanan Exciting Hangzhou: Asian Sepaktakraw dari 20-23 Jun berkata kemudahan yang sepenuhnya berhawa dingin itu juga, dapat memastikan pergerakan pegawai teknikal bertugas dan atlet yang selesa.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan untuk satu kawasan atau bilik kecil diperuntukkan sebagai surau kepada pegawai dan atlet beragama Islam, untuk menunaikan kewajipan agama semasa berlangsungnya Sukan Asia.
"Ia telah disediakan di Sukan Asia sebelum ini di Jakarta-Palembang 2018. Jika jawatankuasa penganjur tempatan Jinhua bersetuju dengan cadangan ini, ASTAF akan membawa 20 sejadah dari Singapura, untuk diletakkan di bilik tersebut.
"ASTAF yakin Sukan Asia yang akan datang ini, akan menjadi salah satu Sukan Asia terbaik yang membawa kenangan indah dan pelawat pulang dengan pengalaman yang tidak ternilai," katanya dalam satu kenyataan.
Kejohanan Asia yang akan menjadi acara ujian untuk Sukan Asia itu nanti, menyaksikan penyertaan dari Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Vietnam, India, Thailand dan tuan rumah China, bersaing dalam kategori lelaki dan wanita.
Sementara itu, Abdul Halim berkata minggu lepas, badan induk sepak takraw Asia itu juga telah menaja 260 bola sepak takraw dan 14 jaring kepada 14 sekolah, bagi memperkenalkan sukan itu di pelbagai sekolah di Bandar Jinhua.
"ASTAF sangat gembira apabila diberitahu bahawa pentadbiran kerajaan Bandaraya Jinhua, telah bersetuju untuk menjadikan Jinhua Sports Center Gymnasium sebagai Akademi Sukan Sepak Takraw Jinhua.
"Akademi ini akan menjadi satu-satunya pusat latihan sepak takraw untuk melatih pelajar dan belia, serta jurulatih bagi membolehkan pembangunan dan pertumbuhan sepak takraw di sekitar Jinhua dan kawasan sekitarnya," katanya.
Abdul Halim berkata ASTAF dan Persatuan Sepak Takraw China, akan membantu akademi ini untuk mencapai visinya dengan menyediakan jurulatih dari China, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan India.
-- BERNAMA