Aspas dan VAR selamatkan maruah Sepanyol (Sepanyol 2-2 Maghribi)
Ian Johan Ariff
Jun 25, 2018 04:23 MYT
Jun 25, 2018 04:23 MYT
Sepanyol terselamat daripada kekalahan memalukan kepada Maghribi hasil gol penyamaan daripada pemain gantian, Iago Aspas.
Video assistant referee (VAR) atau pengadil bantuan video turut digunakan untuk mengesahkan gol yang dijaringkan Aspas untuk skuad bimbingan Fernando Hierro itu sah mara ke pusingan kalah mati.
Skuad La Furia Roja turun ke Stadium Kaliningrad masih belum terselamat dari penyingkiran dan dijangka meraih kemenangan ke atas pasukan kerdil, Maghribi.
Namun Maghribi mencipta kejutan pertama dalam perlawanan apabila Khalid Boutaib merampas bola daripada kealpaan Andres Iniesta dengan Sergio Ramos di tengah padang sebelum menjaringkan gol pendahuluan Maghribi.
Iniesta kemudian menebus kesilapannya apabila berjaya membuat larian ke dalam kotak penalti Maghribi sebelum menghantar bola kepada Isco untuk pemain Real Madrid itu menjaringkan gol penyamaan Sepanyol pada minit ke-19.
Pada minit ke-25, Khalid sekali lagi berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Sepanyol, David De Gea namun gagal menewaskannya.
Sepanyol mempunyai peluang untuk berada di depan pada minit ke-37 namun tandukan Sergio Busquets tersasar.
Maghribi terus mengasak kubu Sepanyol dalam babak kedua dengan cubaan jarak jauh Nordin Amrabat yang terkena tiang.
Disebalik penguasaan bola yang tinggi Sepanyol, Maghribi kembali di depan pada minit ke-81 apabila Youssef En-Nesyri menanduk masuk hantaran sepakan sudut Faycal Fajr.
Aspas menjadi wira Sepanyol apabila menjaringkan gol penyamaan tiga minit dalam masa kecederaan selepas menyudahkan hantaran Dani Carvajal.
Namun ia tidak berakhir di situ apabila VAR digunakan untuk memastikan gol yang dijaringkan Aspas adalah sah selepas penjaga garisan memberi isyarat bahawa pemain RC Celta de Vigo itu berada pada posisi offside.
Selepas menyemak semula insiden tersebut gol tersebut diberikan kerana VAR mengesahkan Aspas tidak offside.
Perlawanan tamat 2-2 membolehkan Sepanyol menamatkan saingan kumpulan B selaku juara dan akan bertemu Rusia di pusingan kedua kejohanan pada 1 Julai jam 10 malam waktu Malaysia.
#Andres Iniesta
#Awani FIFA
#David de Gea
#fernando hierro
#Iago Aspas
#La Furia Roja
#Maghribi
#Mordovia Arena
#Raya Bola 2018
#sepanyol
#Sergio Ramos
#VAR