Asian Le Mans: Pasukan Tunku Panglima Johor raih kemenangan sulung
Sinar Harian
Februari 11, 2024 13:30 MYT
Februari 11, 2024 13:30 MYT
TUNKU Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama-sama Pasukan Triple Eight mencatat sejarah apabila meraih kemenangan sulung bagi kategori GT dalam perlumbaan pusingan keempat siri Asian Le Mans di litar Yas Marina, Abu Dhabi pada malam Sabtu.
Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan memberitahu, Tunku Abdul Rahman bersama-sama rakan sepasukan Luca Stolz dan Jordan Love mempamerkan pemanduan yang cekap dalam pusingan tersebut.
"Ini termasuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang empat jam perlumbaan berlangsung bagi merangkul kemenangan manis itu untuk Triple Eight yang merupakan peserta baharu dalam siri ini," menurut kenyataan tersebut pada Ahad.
Difahamkan, usaha pasukan Triple Eight tidak terhenti hanya dalam perlumbaan keempat kerana pada Ahad mereka akan meneruskan perlumbaan kelima di Abu Dhabi.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian