Ashleigh Barty muncul juara Tenis Terbuka Malaysia ALYA WTA 2017

Bernama
Mac 5, 2017 23:42 MYT
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor meraikan juara Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia ALYA WTA 2017, Ashleigh Barty (kiri) dari Australia dan naib juara, Nao Hibino dari Jepun selepas perlawanan akhir malam ini. - Foto Bernama
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyampaikan trofi Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia ALYA WTA 2017 kepada pemain Australia, Ashleigh Barty yang merangkul gelaran perseorangan kejohanan itu.
Beliau juga menyampaikan hadiah kepada pemenang kedua Nao Hibino dari Jepun, yang berlangsung di TPC Kuala Lumpur di Bukit Kiara di sini.
Barty membawa pulang wang tunai US$43,000 manakala Hibino merangkul US$21,400.
Pemain Australia itu menewaskan Hibino 6-3, 6-2. Permainan turut dihentikan seketika berikutan hujan.
Ketibaan Rosmah disambut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Diiktiraf oleh WTA atau Persatuan Tenis Wanita, Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia berlangsung di TPC Kuala Lumpur di tengah-tengah persekitaran hijau ALYA Kuala Lumpur, pembangunan mewah yang baru dilancarkan oleh Sime Darby Property. -- Bernama
#Ashleigh Barty #Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia #Nao Hibino #pemain Australia #Rosmah Mansor #Sime Darby
;