Ashleigh Barty juara Terbuka Australia 2022

Syafik Shukri Jalil
Januari 29, 2022 18:32 MYT
Bagi Barty, ini merupakan trofi Grand Slam ketiganya selepas kali pertama memenanginya pada Terbuka Perancis 2019 menewaskan Marketa Vondrousova. - Gambar REUTERS
MELBOURNE: Pemain tenis nombor satu dunia, Ashleigh Barty muncul juara Terbuka Australia 2022 selepas berjaya menundukkan jaguh Amerika Syarikat, Danielle Collins, hari ini.
Barty yang juga jaguh tuan rumah itu berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan kemenangan 6-3 di set pertama dan 7-6 ke atas Collins.
Kejayaan ini sekali gus catat kenangan manis bagi warga Australia kerana ia merupakan kemenangan pertama warga negara itu di Terbuka Australia sejak 1978.
Menerusi set pertama di Rod Laver Arena itu ditambah dengan kelebihan sorakan daripada penyokong, Barty beraksi garang untuk membolehkannya menguasai rentak permainan seterusnya meninggalkan Collins dengan 6-3.
Collins yang kelihatan sedikit gementar pada awalnya bangkit pada set kedua dan mempamer aksi luar biasa bagi membolehkannya berada di hadapan dengan 5-1.
Namun, semangat Barty yang pilihan utama kejohanan itu nyata tidak boleh dipandang enteng apabila berjaya bangkit menyamakan kedudukan 6-6 dan beroleh kemenangan menerusi tie break dengan catatan 7-2.
Ini merupakan aksi pertama di gelanggang akhir Grand Slam bagi jaguh dari Florida, Amerika Syarikat ini selepas bergelar pemain tenis profesional bermula 2018.
Sebelum ini, Collins pernah beraksi di Terbuka Amerika Syarikat 2021 namun terkandas di pusingan ketiga selepas tewas kepada bintang Belarus, Aryna Sabalenka dengan 6-3 dan 6-3.
Bagi Barty, ini merupakan trofi Grand Slam ketiganya selepas kali pertama memenanginya pada Terbuka Perancis 2019 menewaskan Marketa Vondrousova.
Seterusnya pada 2021, Barty terus memperkukuhkan kedudukannya selepas berjaya menjuarai Terbuka Wimbledon 2021 menewaskan jauh Republik Czech, Karolina Pliskova.
#Ashleigh Barty #Danielle Collins #Terbuka Australia #Grand Slam
;