Aset Kayamas, Wonda Coffee diumum penaja rasmi Siaran Piala Dunia Astro

Hafiz Marzukhi
Jun 4, 2018 20:34 MYT
Astro Arena akan turut menyiarkan 27 perlawanan secara langsung percuma di NJOI Now dan Aplikasi Astro GO. - Reuters
Aset Kayamas Sendirian Berhad dan Wonda Coffee diumumkan sebagai dua penaja rasmi bagi siaran Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia oleh Astro.
Ketua Kandungan Sukan Astro Lee Choong Khay berkata Astro akan menyiarkan kesemua 64 perlawanan, dimana 37 daripadanya secara langsung di television dan juga di aplikasi pintar Astro GO dan Stadium Astro.
"Selain itu,kami juga menawarkan analisis perlawanan terbaik dari personaliti bola sepak serta rakaman kamera pelbagai sudut untuk peminat bola sepak di Malaysia," kata beliau.
Choong Khay turut memaklumkan bahawa Astro Arena akan turut menyiarkan 27 perlawanan secara langsung percuma di NJOI Now dan Aplikasi Astro GO.
"Bagi mereka yang bukan pelanggan Astro, mereka juga boleh membeli Pas Saluran Piala Dunia untuk mengikuti siaran kejohanan ini," kata beliau ketika Majlis Pengenalan Penaja Rasmi Siaran Piala Dunia FIFA 2018 Astro di Bangsar Shopping Centre petang tadi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Aset Kayamas Michael Chai berasa bangga untuk melibatkan diri sebagai penaja.
"Kami sentiasa ingin mewujudkan komuniti Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama menerusi pembinaan rumah yang bukan sahaja mampu milik tetapi juga memiliki tahap kualiti hidup yang tinggi.
"Jadi, kita tahu bahawa sukan, dalam kes ini, Piala Dunia mampu menyatukan orang ramai. Oleh itu, kami berasa sesuai untuk menyokong siaran kejohanan ini," katanya.
Pandangan beliau turut dikongsi Naib Presiden Etika Sendirian Berhad Santharuban T. Sundaram yang menyatakan syarikatnya ingin menjadi penyokong kepada penonton tegar kejohanan tersebut.
"Kita tahu biasanya siaran perlawanan adalah pada lewat malam. Oleh itu, sebagai pemilik jenama Wonda Coffee, kami berharap produk keluaran kami akan menjadi peneman penyokong ketika menonton pasukan kegemaran masing-masing beraksi," katanya.
Aset Kayamas akan mengadakan acara istimewa sempena perlawanan akhir Piala Dunia pada 15 Julai di Desa Sentral, salah satu projek yang dibangunkan mereka.
Peminat akan diberi peluang bertemu lagenda bola sepak dan menyertai pelbagai aktiviti menarik.
Sementara itu, Wonda Coffee memperkenalkan tiga edisi terhad produk kopi iaitu Kopi Arabica Peru, Brazil dan Colombia.
#Gobind Singh Deo #hak siaran #kabinet #Piala Dunia 2018 #Tajaan
;