Aseh harap isu 'surat layang' segera diselesaikan
Bernama
Mei 29, 2024 21:51 MYT
Mei 29, 2024 21:51 MYT
PETALING JAYA: Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap isu 'surat layang' dapat dinoktahkan segera selepas siasatan terhadap dua dakwaan salah guna kuasa melibatkan badan induk itu telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pengerusinya Tan Sri Aseh Che Mat berkata ia perlu diselesaikan bagi memulihkan kredibiliti badan induk bola sepak negara itu.
"Ini sekali gus dapat mengembalikan keyakinan semua pemegang taruh FAM sebagai badan induk bola sepak negara kita," katanya pada sidang media selepas Seminar Integriti FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.
Aseh berkata susulan penyebaran 'surat layang' itu pada hujung Mac lepas, Jawatankuasa Integriti FAM telah mengadakan perbincangan dan menyerahkan perkara tersebut pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan.
Katanya siasatan itu merangkumi dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian tender projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya bernilai RM25 juta dan isu tomahan penyalahgunaan wang bagi penganjuran Kongres FAM ke-60.
"Siasatan ke atas kedua-dua isu berkenaan telah selesai dan dirujuk kepada pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) yang berpuas hati dengan hasil siasatan SPRM dan memutuskan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut, NFA," katanya.
Pada masa sama, Aseh berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah memanggil petugas dan bekas staf FAM sejak beberapa minggu kebelakangan ini bagi membantu siasatan berhubung isu 'surat layang' itu.
Beliau berkata siasatan polis berhubung perkara itu masih berjalan.
Dalam pada itu, Aseh berkata FAM juga mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram bagi tujuan menambah baik urus tadbir serta pengurusan itu badan induk.
Sementara itu, Sivasundaram berkata jawatankuasa khas itu akan membentangkan rumusan dapatan hasil temu bual dengan keseluruhan petugas FAM dalam masa terdekat.
Pada hujung Mac lepas, tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.
Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu melibatkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC.
-- BERNAMA