Arsenal terlepas peluang pintas Chelsea
Nursyazwani Saiful Sham
April 24, 2019 06:20 MYT
April 24, 2019 06:20 MYT
ARSENAL gagal memanfaatkan peluang untuk menghuni tempat keempat liga selepas tewas 1-3 di tangan Wolverhampton Wanderers.
Bermain di laman sendiri, Wolves membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi sepakan percuma Ruben Neves.
Wolves terus cemerlang pada babak pertama apabila Matt Doherty dan Diogo Jota jaringkan gol masing-masing pada minit ke-37 dan 45.
Gol saguhati Arsenal dijaringkan Sokratis Papastathopoulos pada minit ke-80.
Kemenangan itu melonjakkan Wolves ke tangga ke-7.
Sementara itu, pengurus Arsenal, Unai Emery, enggan menyalahkan aksi buruk penjaga golnya, Bernd Leno, selepas ditewaskan 1-3 oleh Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, awal pagi tadi.
Leno tersalah jangkaan ketika Castro Otto melakukan hantaran lintang yang membantu gol Doherty sebelum terlalu mudah ditewaskan Jota sebelum tamat babak pertama.
"Saya tidak mahu bercakap tentang individu. Kami perlu kembali bersatu dan bukannya menyalahkan seorang pemain sama ada di bahagian serangan atau pertahanan," katanya dalam sidang media.
"Kami perlu mencari jalan untuk memulihkan keyakinan dan prestasi terbaik kami.
"Apabila kami berada pada waktu terburuk, kami perlu bangkit untuk melihat segala kemungkinan yang kami ada ketika ini.
"Dalam dua perlawanan lalu, kami kehilangan pilihan terbaik, namun dalam tiga perlawanan terakhir musim ini, kami akan bermain dengan segala kemungkinan yang ada," katanya.
Arsenal tewas enam daripada 10 perlawanan terakhir di laman lawan dalam saingan liga dan Emery meluahkan kekecewaannya terhadap aksi buruk pasukannya.
"Kebiasannya, saya amat kritikal terhadap diri saya.
"Saya marah kepada diri saya ketika kami tidak melaksanakan perancangan yang saya rancang.
"Idea saya, cara saya adalah untuk memandang ke depan dan mencari penyelesaian, bukan tentang siapa pemain yang beraksi paling buruk atau tidak melakukan apa yang kami rancangkan.
Wolves menjadi pasukan baru pertama mengumpul 50 mata dalam Liga Perdana sejak Birmingham melakukannya dalam musim 2009-10.
Pengurus, Nuno Esprito Santo, memuji prestasi yang dipamerkan pasukannya untuk meraih kemenangan pertama sejak tewas kepada Watford dalam separuh akhir Piala FA, dua minggu lalu.
"Menentang setiap pasukan adalah sukar, namun Arsenal memiliki pemain berkualiti.
"Ia memerlukan kami untuk beraksi lebih tersusun, lebih banyak berlari, bertahan untuk memenangi bola dan melakukan sesuatu.
"Pertama sekali, kami perlu beraksi tersusun.
"Pergerakan dengan bola amat penting dan perlu tahu di mana kami boleh memenanginya, di mana kami perlu pergi dan memberikan masalah buat mereka.
"Kami melakukannya dengan amat baik dalam separuh masa pertama tetapi tidak terlalu baik dalam babak kedua.
"Kami berdepan situasi empat lawan dua di mana kami perlu melakukan keputusan yang lebih tepat.
"Namun, ia tentang aksi tersusun dan pembentukan pasukan.
"Saya amat berbangga dengan cara kami bekerja, cara pemain melibatkan diri dan memberikan komitmen untuk beraksi baik.
"Itu yang membuatkan saya berasa bangga, tentang keyakinan kami terhadap diri sendiri.
"Ia persembahan yang baik ketika berdepan lawan yang sukar.
"Separuh masa pertama amat baik, separuh masa kedua tidak terlalu baik, namun dimainkan dengan cara yang baik.
"Jika dilihat kepada keseluruhan permainan, saya berasakan pemain saya telah berusaha keras," katanya.
#Arsenal
#Chelsea
#Diogo Jota
#Matt Doherty
#Ruben Neves
#Sokratis Papastathopoulos
#Wolverhampton Wanderers
#Wolves