Arsenal terkesan dengan kekalahan kepada Bayern - Wenger
Astro Arena
Mac 3, 2017 11:19 MYT
Mac 3, 2017 11:19 MYT
PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger, mengakui kekalahan memalukan 5-1 kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara masih menghantui pemainnya menjelang aksi berdepan Liverpool, esok.
Wenger menggesa anak buahnya untuk tampil dengan mentaliti lebih ampuh jika mahu bangkit berdepan Liverpool.
Kemenangan bakal menempatkan Arsenal -- yang ketika ini menghuni kedudukan keempat -- empat mata di hadapan Liverpool dalam perebutan slot ke Eropah.
Wenger sedar pemikiran negatif tidak akan membantu pemainnya.
Katanya:"Apabila kamu mendapat keputusan buruk seperti itu, sudah tentu ia akan memberi kesan terhadap mentaliti pemain.
"Tetapi saya berasakan penting untuk terus fokus terhadap cara kami bermain di samping menerapkan semangat untuk berjuang dan tidak mensia-siakan peluang yang hadir.
"Banyak perkara yang akan berlaku pada hujung musim apabila pasukan gergasi bertembung antara satu sama lain.
"Sukar untuk meramalkan berapa banyak mata diperlukan untuk menamatkan saingan liga dalam kelompok dua terbaik ketika ini. Apa yang kami tahu, kami perlu menang perlawanan ini."