Arsenal tandatangani Gabriel Jesus daripada Manchester City
Astro Arena
Julai 5, 2022 09:45 MYT
Julai 5, 2022 09:45 MYT
ARSENAL melengkapkan proses menandatangani Gabriel Jesus daripada Manchester City, demikian disahkan pasukan The Gunners itu semalam.
Penyerang kebangsaan Brazil berkenaan mengikat kontrak jangka panjang di Stadium Emirates, yang dilaporkan melibatkan kesepakatan bernilai sekitar £45 juta (RM240.48 juta).
Jesus menjadi pemain keempat dibawa masuk Arsenal dalam jendela perpindahan kali ini selepas turut mendatangkan Matt Turner, Marquinhos dan Fabio Vieira.
Arsenal mengesahkan pembelian itu dalam laman web rasmi mereka dan pengurus, Mikel Arteta, berkata: "Saya amat teruja.
"Kelab ini telah melakukan kerja yang hebat untuk mendatangkan pemain sepertinya.
"Saya amat mengenali Gabriel secara peribadi dan kita semua mengenalinya berdasarkan prestasinya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dia amat berjaya sepanjang di sini.
"Ini posisi yang sudah lama berada dalam radar kami dan kami berjaya mendapatkan pemain yang benar-bnar kami inginkan, jadi saya amat gembira," katanya.
Jesus menyertai City daripada Palmeiras pada 2016 dan menjaringkan 95 gol sepanjang 234 penampilan dalam kesemua kejohanan di bawah bimbingan Pep Guardiola.
Pemain berusia 25 tahun itu turut mempamerkan aksi cemerlang pada penghujung musim 2021-22, di mana dia menjaringkan empat gol dalam kemenangan 5-1 City ke atas Warford pada April lalu yang memastikan mereka mengekalkan kejuaraan EPL.
Bagaimanapun, dengan persaingan yang akan dihadapinya selepas ketibaan Erling Haaland dan Julain Alvarez di Stadium Etihad, Jesus memilih untuk menyertai Arsenal bagi mendapatkan lebih waktu permainan.