Arsenal rayu EPL ubah peraturan tampung kecederaan

Astro Arena
Oktober 28, 2023 10:30 MYT
Arteta sering mengkritik pengelola itu berhubung bilangan perlawanan. - Foto REUTERS
MIKEL Arteta menyeru Liga Perdana Inggeris (EPL) agar membenarkan penambahan saiz skuad selepas pengurus Arsenal itu kehilangan dua lagi pemain utama akibat kecederaan.
Gabriel Jesus dan Thomas Partey berdepan tersisih selama beberapa minggu selepas Arteta mengesahkan pasangan itu mengalami kemunduran.
Arsenal, yang kekal belum tewas dalam liga setakat musim ini, bakal melayani kunjungan Sheffield United yang tidak pernah menang tetapi Jesus sudah pasti terlepas berikutan masalah hamstring yang dialaminya dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) di Sevilla, pertengahan minggu ini.
Partey pula tidak dapat diturunkan akibat kecederaan otot ketika sesi latihan yang difahamkan agensi berita PA memerlukannya berehat hingga Disember.
Arteta sudah pun kehilangan ramai tonggak utama seperti Bukayo Saka, Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard yang memerlukan rawatan sementara pembelian musim panas, Jurrien Timber, belum dapat diketengahkan untuk tempoh yang lama selepas menjalani pembedahan lutut.
Arteta sering mengkritik pengelola itu berhubung bilangan perlawanan dan kini berasakan penyelesaiannya itu mungkin terletak kepada saiz skuad yang berkembang melebihi had semasa iaitu 25.
“Jika kami mempunyai lebih banyak permainan, lebih berdaya saing dan secara fizikal standard lebih tinggi - dengan bermain lebih minit - kami perlu mempunyai bukannya lima pemain gantian, sebaliknya 10 orang,” katanya ketika ditanya mengenai peningkatan saiz skuad.
“Lima pertukaran kini adalah sesuatu yang normal tetapi ia adalah satu perjuangan besar untuk mengubah daripada tiga kepada lima pertukaran. Saya tidak dapat bayangkan permainan yang berlangsung pada hari ini - iaitu sejak tahun lalu dan Piala Dunia - tanpa lima pertukaran, ia akan menjadi sangat sukar.
“Jika kalendar dipanjangkan, sudah pasti kita perlu memikirkan untuk tidak menjatuhkan kualitinya. Satu-satunya cara untuk melakukannya ialah pemain perlu kriteria persediaan tertentu dan anda memerlukan pemain untuk dipilih.”
“Bilakah dilema ini akan selesai dan berapa lama masa yang diperlukan untuk kami membuat keputusan yang tepat? Undang-undang akan berubah dan mungkin keupayaan kita untuk melakukan sesuatu terhadap sukan ini juga akan berubah. Sudah pasti kami perlu menyesuaikan diri.
“Kami akan memerlukan lebih ramai pemain. Pemain mempunyai sejumlah tenaga. Bateri yang boleh tahan lama tetapi kami akan membakarnya. Kami memerlukan lebih ramai pemain jika ini semua berlaku. Kami kena sesuaikan diri.
“Ada masa anda boleh bernasib sangat malang dan kadang-kadang ada pula perkara yang di luar kawalan kami.
"Apabila anda mengerah kudrat pemain dan terdapat pemain yang jarang yang melakukannya jadi risikonya boleh meningkat.
"Kami cuba menguruskan setiap perkara untuk mengawalnya, tetapi ada perkara yang sukar dilakukan dan kami perlu menerimanya." - Stadium Astro
#Mikel Arteta #EPL #kecederaan #penambahan saiz skuad
;