Arsenal memang tak layak tewaskan Brighton, kata Arteta
Astro Arena
Oktober 3, 2021 08:53 MYT
Oktober 3, 2021 08:53 MYT
BRIGHTON & HOVE ALBION 0 ARSENAL 0
Mikel Arteta mengakui Arsenal tidak layak untuk menang selepas terikat tanpa jaringan dengan Brighton and Hove Albion dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Rekod empat kemenangan berturut-turut The Gunners dihentikan aksi bersemangat Seagulls untuk kedua-dua pasukan melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan berturut-turut dalam kesemua kejohanan.
Tandukan Pierre-Emerick Aubameyang terkena tiang sebelah kiri dalam babak pertama manakala Emile Smith-Rowe juga hampir memecahkan kebuntuan dalam babak kedua buat Arsenal.
Pengurus pasukan, Arteta, berkata The Gunners perlu meningkatkan permainan mereka selepas mempamerkan aksi mengecewakan di Stadium Amex.
"Saya lebih gusar dengan cara kami bermain," kata Arteta kepada BBC Match of the Day.
"Kami tidak banyak melakukan keputusan yang tepat, setiap kali perebutan bola di udara, di mana kami boleh mengelakkan tekanan dan menyerang secara terbuka, kami tidak dapat melakukannya dan tidak mengekalkan strukturnya, kami perlu melakukannya dengan lebih baik.
"Percubaan Aubameyang mungkin satu-satunya situasi terbuka buat kami dalam babak pertama dan kami tidak bernasib baik untuk menjaringkannya.
"Saya tidak fikir kami layak memenangi perlawanan ini, kami perlu menerima keputusan seri ini berdasarkan prestasi kami hari ini dan memperbaikinya," katanya.
Bagaimanpun, aksi sepanjang bulan lalu telah mengembalikan tuah Arsenal dan Arteta gembira dengan respons yang ditunjukkan pasukannya selepas permulaan hambar musim ini.
"Kami hanya dibolosi satu gol daripada lima perlawanan dan ia sesuatu yang amat positif.
"Ia satu rentetan perlawanan yang amat positif yang membantu kami mengubah situasi," tambahnya.