ARSENAL telah mempamerkan keseimbangan bertahan dan menyerang, itu kata Arsene Wenger selepas menyaksikan pasukan kendaliannya melakar kejutan menewaskan Bayern Munich 2-0.

Oliver Giroud dan Mesut Ozil mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-77 dan masa kecederaan untuk menghidupkan peluang mereka dalam kempen Liga Juara-Juara selepas dua tewas dalam perlawanan awal.

"Ia akan mengukuhkan keyakinan kami dan orang di sekeliling kami. Amat penting kami memiliki keseimbangan di antara menyerang dan bertahan.

Jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola dan kaptennya, Philip Lahm turut tergamam dengan kekalahan pasukannya namun tetap bangga dengan usaha anak buahnya mencipta gerakan-gerakan berbahaya.

Sementara itu, Jose Mourinho terus menerima tekanan selepas Chelsea sekadar seri tanpa jaringan dengan Dynamo Kiev.

Mourinho melabel pengadil perlawanan, Craig Joubert seperti pengadil sukan ragbi sambil merujuk pasukannya gagal dihadiahkan sepakan penalti selepas Cesc Fabregas dijatuhkan Sergiy Rybalka pada separuh masa pertama di Kiev.

"Jelas sekali ia penalti. Saya tidak tahu sama ada pengadil melihatnya, dia tidak mahu memberikannya.

"Satu kesilapan menghukum Scotland dalam ragbi. Di sini, satu kesilapan menghukum Chelsea," katanya.

Barcelona yang berkunjung ke BATE, mengutip kemenangan penting yang menyaksikan Ivan Rakitic muncul wira dengan menjaringkan kedua-dua gol untuk meletakkan skuad kendalian Luis Enrique menerajui Kumpulan E.

Pemain tengah itu berpuas hati dengan kemenangan tersebut, namun berkata Barcelona seharusnya menjaringkan lebih banyak gol lagi selepas mereka mengharungi permainan sempura dan tidak memberi banyak ruang kepada BATE.

"Kami harus kekal konsisten," ujarnya.