Arsenal gagal pamer aksi cemerlang
Astro Arena
April 11, 2017 10:12 MYT
April 11, 2017 10:12 MYT
THEO WALCOTT mengakui pemain-pemain Arsenal tidak berada di tahap terbaik ketika tewas 3-0 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Jaringan gol daripada Andros Townsend, Yohan Cabaye dan Luka Milivojevic memaksa Arsenal menerima kekalahan keempat berturut-turut di laman lawan buat The Gunners.
Penjaga gol The Eagles, Wayne Hennessey mengharungi malam yang mudah apabila Arsenal gagal melakukan satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan pada separuh masa kedua.
Keputusan akhir perlawanan ini ternyata membuat penyokong Arsenal yang hadir berang dan Walcott mengakui mereka gagal mempamerkan aksi yang terbaik.
"Kekalahan ini ternyata mengecewakan penyokong-penyokong kami," kata Walcott.
"Ini bukan malam kami. Kami sangat kecewa dengan persembahan kami. Kami perlu bangkit.
"Kami menjangkakan mampu bangkit selepas seri kepada Manchester City dan menewaskan West Ham. Tetapi apa yang berlaku di luar jangkaan kami.
"Arsenal tidak mahu tewas pada perlawanan ini, kami telah cuba yang terbaik."
Kekalahan ini meletakkan Arsenal ketinggalan tujuh mata kepada penghuni tangga keempat Manchester City, sekaligus mencalarkan peluang mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara (UCL), musim hadapan.