Arsenal berdepan tuduhan gagal kawal tingkah laku pemain
Astro Arena
Januari 7, 2023 13:30 MYT
Januari 7, 2023 13:30 MYT
ARSENAL berdepan dakwaan Persatuan Bola Sepak (FA) kerana gagal mengawal pemain yang menuntut sepakan penalti pada lewat permainan ketika mereka seri tanpa jaringan dengan Newcastle United, Rabu lalu.
Beberapa pemain The Gunners bertindak mengepung pengadil, Andy Madley, apabila dia gagal menghadiahkan sepakan penalti selepas percaya bola terkena tangan Jacob Murphy pada masa kecederaan.
Mikel Arteta -- yang juga berasakan Arsenal sepatutnya dihadiahkan sepakan dari jarak 12 ela itu kerana insiden Dan Burn menarik jersi Gabriel Magalhaes pada awal permainan -– jelas berang di garisan tepi selain sempat mencetuskan konfrontasi ringkas dengan pengurus Newcastle, Eddie Howe.
Kelakuan Arteta dan pemainnya dikritik beberapa pihak dan mendorong FA untuk membuka prosiding disiplin terhadap pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
"Arsenal FC telah didakwa melanggar peraturan FA E20.1 dalam perlawanan EPL menentang Newcastle United FC," menurut satu kenyataan daripada badan induk itu.
"Arsenal FC didakwa gagal memastikan tingkah laku pemainnya dengan teratur pada minit ke-95 dan kelab mempunyai masa hingga Selasa depan untuk memberi maklum balas."