Arsenal belum mahu kibar bendera putih rebut trofi EPL
Astro Arena
April 27, 2023 09:00 MYT
April 27, 2023 09:00 MYT
MIKEL Arteta belum mahu mengibarkan bendera putih sekalipun penguasaan Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin digugat Manchester City.
Kevin De Bruyne, John Stones dan Erling Haaland saling mencetak nama selaku penjaring gol ketika barisan kendalian Pep Guardiola itu merakam kemenangan 4-1 ke atas The Gunners, awal pagi tadi.
City kini hanya dua mata di belakang pendahulu EPL itu dengan kelebihan dua perlawanan di dalam tangan.
Menurut Opta, City kini mempunyai peluang 92 peratus untuk mempertahankan kejuaraan berbanding hanya lapan peratus buat kelab London tersebut.
Arteta, bagaimanapun, belum mahu berputus asa.
“Ia adalah malam yang sangat sukar, jelas sekali selepas cara kami tewas,” katanya kepada BT Sport.
"Tetapi kami perlu bangkit, melihat gambaran yang lebih besar dan cara kami bersaing dengan menerusi skuad ini.
"Ia luar biasa, untuk berlaku adil dan kami mahu bersaing, kami tidak akan berputus asa.
"Ada lima perlawanan lagi, apa sahaja boleh berlaku dan saya telah melihat banyak perkara berlaku sepanjang 20 tahun lalu.
"Anda perlu percaya. Kami perlu melihat cermin dan akur bahawa kami telah tewas ketika bersaing dengan sebuah pasukan yang luar biasa."