ARRC: Andi Farid Izdihar nafi Hafizh Syahrin, muncul juara

Astro Arena
Mac 17, 2024 07:00 MYT
Andi Farid mendominasi Perlumbaan 2 Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, pada Ahad. - Foto Facebook ARRC
PELUMBA Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar, menafikan kejuaraan menjadi milik Hafizh Syahrin Abdullah apabila mendominasi Perlumbaan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Buriram, pada Ahad.
Andi Farid memacu deras jentera Honda CBR100RR yang ditungganginya ketika berbaki tujuh pusingan lagi di sebalik percubaan Hafizh Syahrin menguasai sejak awal perlumbaan, manakala Nakarin Atiratphuvapat melengkapkan podium.
Dalam masa sama, juara Perlumbaan 1 pada Sabtu, Azlan Shah terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima berikutan bergelut dengan cengkaman tayar.
Kejayaan semalam secara tidak langsung mengobarkan semangat JDT Racing Team yang bergelut dengan masalah teknikal motosikal Ducati Panigale V4R yang membataskan mereka untuk sepusingan sahaja.
"Kami terlepas gelaran juara dalam pusingan terakhir selepas membuat permulaan yang bagus.
"Kedudukan podium merupakan permulaan yang baik untuk projek kami ini, kami mahu terus mengharumkan nama JDT," kata Hafizh Syahrin selepas perlumbaan.
#ARRC #Litar Antarabangsa Buriram #Andi Farid Izdihar #Honda Asia-Dream Racing Astemo
;