Arjen Robben umum persaraan
Astro Arena
Julai 5, 2019 15:22 MYT
Julai 5, 2019 15:22 MYT
LEGENDA Bayern Munich dan Belanda, Arjen Robben, memutuskan untuk menamatkan kariernya selaku pemain pada usia 35 tahun.
Robben menikmati karier gemilang di pentas tertinggi bola sepak Eropah dengan memenangi kejuaraan utama buat PSV, Chelsea, Real Madrid dan Bayern.
Bagaimanapun, dia enggan mencari sebarang pasukan lain selepas dilepaskan Bayern sambil menegaskan keputusan itu tidak akan berubah.
"Seperti yang diketahui ramai, saya mengambil sedikit masa selepas perlawanan terakhir bersama Bayern untuk memikirkan keputusan mengenai masa depan saya.
"Kini, saya telah memilih untuk menamatkan karier saya sebagai pemain profesional," katanya dalam satu kenyataan.
"Kecintaan terhadap permainan dan keyakinan bahawa anda masih boleh menawan dunia, berlawanan dengan realiti yang tidak selalu berjalan seperti yang anda inginkan dan anda bukan lagi remaja berusia 16 tahun yang tidak tahu makna kecederaan.
"Buat masa ini, saya amat cergas dan sihat dan sebagai peminat kepada sukan-sukan lain, saya mahu kekal seperti ini.
"Pengunduran saya ini tetap, namun ia bagus untuk kekal seperti ini," katanya.
Robben mula dikenali dunia menerusi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut dalam musim 2004-05 dan 2005-06, selepas menyertai Chelsea pada 2004, sebelum memenangi kejuaraan Piala FA dalam musim berikutnya.
Perpindahannya ke Real Madrid tidak begitu berjaya secara individu, namun dia memenangi LaLiga pada musim 2007-08.
Robben menyertai Bayern pada 2009 dan walaupun berdepan beberapa siri kecederaan, dia masih mampu melengkapkan karier gemilang selama 10 tahun di Allianz Arena.
Dia memenangi lapan gelaran Bundesliga di samping kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah 2012-13 dengan secara keseluruhannya telah melakukan 309 penampilan dalam kesemua kejohanan buat pasukan itu.
Walaupun kerap cedera, Robben masih mampu menjaringkan 144 gol buat Bayern, termasuk enam daripada 19 perlawanan musim terakhirnya.
"Masih terlalu awal untuk mengimbau karier saya tetapi buat masa ini, hanya kebanggaan dan kesyukuran menguasai perasaan saya.
"Saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang waktu ini dengan seikhlas hati saya.
"Ibu bapa saya, kakak saya, keluarga, kawan, jurulatih peribadi saya, semua kelab, ahli pasukan, jurulatih, wartawan dan peminat. Setiap yang menyokong saya selama bertahun-tahun ini dan meletakkan saya di mana saya berada pada hari ini.
"Saya telah hidup selama 19 tahun untuk keghairahan ini.
"Ia menuntut mentaliti tertentu dan pasti mengambil banyak tenaga, terutama ketika sesuatu tidak berjalan seperti yang anda inginkan dan ketika anda perlu bangkit daripada waktu-waktu sukar.
"Atlet terbaik terkenal dengan sikap mementingkan diri dan saya pastinya tidak terkecuali.
"Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya kerana sokongan yang tidak berbelah-bahagi, memahami saya dengan rasa cinta.
"Sudah tiba masanya untuk memulakan fasa baru dan saya tidak sabar untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri dan anak-anak saya dan menikmati setiap perkara baik yang akan terus datang kepada kami," tambahnya.
Di sebalik pencapaian gemilangnya di peringkat kelab, Robben turut menjaringkan 37 gol daripada 96 penampilan antarabangsa sepanjang 14 tahun bersama skuad kebangsaan Belanda.