Arjen Robben anggap Bayern bagai dirompak

Astro Arena
April 19, 2017 09:31 MYT
ROBBEN sewaktu berinteraksi dengan penonton dalam perlawanan malam tadi. - AP
ARJEN ROBBEN berpandangan Bayern Munich bagaikan dirompak selepas gergasi Jerman itu disingkirkan daripada saingan Liga Juara-Juara secara kontroversi oleh Real Madrid.
Arturo Vidal dibuang padang ketika perlawanan menuju ke tambahan masa yang menyebabkan Bayern tumbang 4-2 kepada juara menanti, Madrid, yang menyaksikan Cristiano Ronaldo merakamkan hatrik di ibu kota Sepanyol itu, awal pagi tadi.
Bayern mendahului perlawanan 2-1 dalam aksi Santiago Bernabeu itu, namun tempang susulan pemain tengah dari Chile, Arturo Vidal, diarahkan meninggalkan padang ekoran mengutip kad kuning kedua pada minit ke-84, meskipun didapati membuat terjahan bersih.
Madrid mengambil kesempatan di atas perangkap ofsaid untuk melengkapkan tiga golnya dalam masa tambahan.
Ditanya sama ada Bayern dirompak, pemain sayap Belanda itu memberitahu Viasat: "Ya, pada pandangan saya, ia adalah memalukan kerana anda dapat melihat sebuah perlawanan yang menarik.
"Semua orang di dunia menonton dua buah pasukan mantap berdepan satu sama lain dengan pemain hebat di atas padang.
"Ia sangat mengujakan untuk disaksikan. Kemudian perlawanan seperti ini ditentukan oleh keputusan penting oleh pengadil. Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil, tapi anda selalu perlu menilai prestasi, kesilapan yang dilakukan sendiri dan apa yang tidak kena. Dalam hal ini, tiada satu pun, ia lebih kepada keputusan penting dalam menentukan perlawanan.
"Ia bagus untuk mempromosikan bola sepak, kemudian ia ditentukan oleh seseorang yang mempunyai wisel."
#Arjen Robben #Arturo Vidal #Bayern Munich #liga juara #Real Madrid
;