Ariffin Nazri, Dania Sofea muncul juara badminton remaja tertutup Johor
Bernama
Januari 9, 2023 09:45 MYT
Januari 9, 2023 09:45 MYT
PONTIAN: Muhammad Ariffin Nazri Md Zakaria dan Dania Sofea Zaidi menepati ramalan muncul juara masing-masing perseorangan lelaki bawah 21 tahun dan perempuan bawah 16 tahun Kejohanan Badminton Remaja Tertutup Johor.
Dalam aksi final di DBC Sport Arena, di sini, Muhammad Ariffin Nazri menewaskan Wee Yee Tern 21-19, 21-17 sementara Dania Sofea menundukkan Lai Eyun dengan 21-7, 21-10, sekali gus mempertahankan gelaran dimenanginya pada edisi lepas.
Kedua-dua mereka turut muncul juara bagi aksi beregu apabila Muhammad Ariffin Nazri yang berpasangan dengan abangnya Muhammad Ashraf Daniel, mengatasi cabaran pasangan adik beradik Wee Yee Hern dan Wee Yee Tern 21-15, 21-19.
Dania Sofea bersama pasangannya Lai Eyun pula menumpaskan Koh Yi Rou dan Yap Yi Ning, 21-9, 21-10.
Dalam pada itu, Dania Sofea, 16, ketika ditemui Bernama berkata beliau mahu terus mengecapi kejayaan untuk negeri dan negara di masa hadapan.
Beliau yang beraksi di peringkat suku akhir Kejohanan Asia Bawah 15 dan 17 Tahun di Thailand hujung tahun lepas akan meningkatkan latihan bagi mencapai tujuan itu.
Muhammad Ariffin Nazri yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Sepanyol, Oktober tahun lalu pula mahu memperbaiki setiap kelemahan serta mempelajari teknik terbaik dalam perlawanan untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
#badminton
#Kejohanan Badminton Remaja Tertutup Johor
#Muhammad Ariffin Nazri Md Zakaria
#Dania Sofea Zaidi