Arif-Roy King teruskan aksi cemerlang pada Masters Malaysia
Bernama
Mei 24, 2024 06:10 MYT
Mei 24, 2024 06:10 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki meningkat naik negara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King terus menampilkan aksi cemerlang untuk melangkah ke separuh akhir Masters Malaysia 2024, sementara pasangan lebih berpengalaman gagal memenuhi jangkaan.
Mendapat sorakan ribuan penonton di Axiata Arena di sini, beregu ranking ke-47 dunia itu berjaya menundukkan pasangan ke-18 dunia dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-18, 14-21, 21-18 pada aksi suku akhir semalam untuk mara ke separuh akhir kejohanan Super 500 pertama mereka.
Terdahulu juara Cabaran Antarabangsa Nantes 2023 itu membuatkan peminat badminton negara cemas apabila membiarkan Kjaer-Sogaard mengejar daripada ketinggalan 18-8 dalam set penentuan, sebelum Wan Muhammad Arif-Roy King mengesahkan kemenangan.
Beregu berkenaan bakal berdepan satu lagi pasangan Denmark iaitu pilihan kedua kejohanan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang menewaskan pasangan negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani 21-19, 21-17.
Pasangan muda negara itu sebelum ini menewaskan Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China pada pusingan pertama dan mengejutkan beregu ranking ke-12 dunia Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan pada pusingan kedua, pada Khamis.
Pasangan itu yang ditemui pemberita selepas perlawanan berharap dapat mempamerkan satu lagi aksi luar biasa hari ini dan seterusnya merangkul kejuaraan.
"Kita hilang fokus pada mata penting (di set ketiga), mungkin sebab nak sangat menang, namun bernasib baik dapat patahkan rentak mereka. Harap esok kami akan beraksi dengan lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan sama.
"Sebenarnya kita sasarkan suku akhir tetapi dah sampai ke separuh akhir ini, kita akan cuba untuk muncul juara terutamanya dengan sokongan padu penyokong di sini," kata Wan Muhammad Arif.
Wan Muhammad Arif-Roy King menjadi wakil tunggal negara dalam acara beregu lelaki apabila pasangan lain ditunjukkan jalan keluar termasuk naib juara edisi lepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tewas kepada pilihan ketiga He Jing Ting-Ren Xiang Yu dari China, 21-18, 21-16.
Paling mengecewakan apabila pilihan utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan Korea Selatan Jin Yong-Naa Sung Seung, 21-11, 19-21, 19-21.
"Saya rasa kita banyak teragak-agak pada set kedua dan ketiga sehingga memberikan mereka peluang. Kita perlu elakkan ulangi kesilapan ini pada kejohanan-kejohanan seterusnya," kata Aaron.
Keputusan itu menyaksikan daripada sembilan wakil Malaysia di suku akhir, hanya Wan Muhammad Arif-Roy King, perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah berjaya menyelinap ke separuh akhir.
-- BERNAMA