Arif Aiman mahu beri aksi terbaik dalam setiap perlawanan JDT

Bernama
Oktober 2, 2024 12:15 MYT
Arif Aiman tekad pamer aksi terbaik dalam setiap perlawanan skuad Harimau Selatan sama ada bagi saingan tempatan atau di peringkat Asia.
ISKANDAR PUTERI: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan skuad Harimau Selatan sama ada bagi saingan tempatan atau di peringkat Asia.
Pemain berusia 22 tahun itu berkata, semua perlawanan adalah penting dan dia akan terus bekerja keras untuk menjaringkan gol bagi JDT.
"Saya menikmati setiap momen, bukan senang dapat peluang beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) melawan pasukan terbaik Asia.
"Jadi saya tidak boleh relaks, tidak boleh berasa selesa sebaliknya akan bekerja keras setiap masa dan berikan yang terbaik dalam semua perlawanan," katanya pada sidang media selepas perlawanan ACLE 2024/25 antara JDT menentang Shanghai Shenhua FC, malam tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini semalam, Arif Aiman menjaringkan gol pertama JDT selain memainkan peranan besar dalam membantu kemenangan 3-0 terhadap kelab China itu.
Arif Aiman yang juga pemain skuad kebangsaan berkata dia berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio kerana sentiasa memberi motivasi, khususnya selepas berdepan kecederaan sebelum ini.
"Akibat kecederaan sebelum ini prestasi saya turun naik tetapi Pemangku Sultan Johor dan jurulatih banyak membantu menaikkan kembali semangat saya. Saya ingin kekal bermain di kelab ini sampai bila-bila.
"Kemenangan hari ini untuk penyokong. Kita hargai mereka datang ke stadium dan kami mahu berikan persembahan terbaik, terima kasih semua," katanya yang baru pulih daripada kecederaan buku lali.
Sementara itu, Hector berkata JDT bermain dengan baik dan menunjukkan persembahan yang mantap sebagai sebuah pasukan sambil mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
"Bagi kami, setiap perlawanan adalah sukar sama ada perlawanan antarabangsa atau liga tempatan tetapi kami gembira dengan peningkatan yang sangat penting kerana setiap hari, setiap perlawanan seterusnya adalah sukar," katanya.
Ketua Jurulatih Shanghai Shenhua Leonid Slutskiy berkata, JDT layak untuk menang tetapi pada masa sama mengakui kekalahan ini amat menyakitkan bagi mereka.
"Kami berharap ini adalah perlawanan terburuk dalam ACLE dan kami akan menggunakan kekalahan ini sebagai pengajaran untuk bangkit dengan lebih gagah dalam perlawanan seterusnya," katanya.
JDT dijadualkan bertemu kelab Korea Selatan Gwangju FC dalam aksi ketiga Kumpulan A ACLE di Stadium Piala Dunia Gwangju pada 22 Okt ini.
Selain Gwangju, JDT juga akan berdepan Ulsan Hyundai FC (Korea Selatan), Shandong Taishan FC (China), Buriram United FC (Thailand), Central Coast Mariners FC (Australia) dan Pohang Steelers (Korea Selatan). - BERNAMA
#JDT #Arif Aiman Mohd Hanapi #Harimau Selatan #ACLE
;