Ariana Nur Dania layak ke Sukan Olimpik Paris 2024
Bernama
November 11, 2023 18:56 MYT
November 11, 2023 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pemanah recurve wanita negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, secara rasminya layak untuk bertanding mewakili negara di Sukan Olimpik Paris 2024, tahun depan.
Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Datuk Abdul Hamid Hasan ketika dihubungi berkata perkara itu, selepas atlet berusia 18 tahun itu mempamerkan aksi membanggakan dengan berjaya mara ke pentas final Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand hari ini.
Beliau berkata Ariana Nur Dania dalam masa sama, membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri selepas melakar kemenangan ke atas Ziyodakhon Abdusattorova dari Uzbekistan, 7-3 untuk merangkul pingat emas bagi acara recurve wanita 70 meter (m).
"Saya sahkan beliau layak untuk beraksi di sana (Paris) sebagai wakil negara," katanya ringkas.
Format pertandingan memperuntukkan dua pemanah terbaik dari kejohanan tersebut, layak ke Sukan Olimpik Paris.
Ariana Nur Dania sekali gus merupakan wakil keempat negara akan beraksi di temasya sukan berprestij itu pada tahun depan, selepas Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Johnathan Wong (menembak).
-- BERNAMA