Argentina sedia ganti Indonesia jadi tuan rumah Piala Dunia B-20
Agensi
Mac 30, 2023 06:45 MYT
Mac 30, 2023 06:45 MYT
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, Argentina sudah mengemukakan permohonan secara rasmi untuk menjadi calon tuan rumah kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023.
Menurut Infantino, permohonan Argentina untuk mengganti Indonesia yang sepatutnya menjadi hos dibuat dalam pertemuan antara FIFA dan Konfederasi Sepak Bola Amerika Selatan (Conmebol) pada Khamis,
"Hari ini pencalonan Argentina merupakan satu-satunya yang diajukan secara rasmi dan dengan jaminan daripada pemerintah," kata Infantino.
Sehubungan itu, Infantino berkata, FIFA akan membuat keputusan dalam masa terdekat berikutan kejohanan berkenaan akan bermula pada 20 Mei ini, seperti dilaporkan media antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Presiden Conmebol, Alejandro Dominguez optimis Argentina mampu memikul kepercayaan menganjurkan Piala Dunia B-20 2023.
FIFA pada Rabu mengugurkan Indonesia sebagai tuan rumah bagi Piala Dunia Bawah 20 Tahun berikutan kegagalan memberikan komitmen untuk kejohanan itu.
Keputusan negara berkenaan untuk tidak mengendalikan kejohanan yang dijangka berlangsung pada 20 Mei hingga 11 Jun itu dibuat Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) berikutan penolakan penyertaan pasukan Israel di kejohanan tersebut oleh dua orang gabenor di republik itu.
“Disebabkan beberapa keadaan semasa, FIFA telah membuat keputusan mengeluarkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun 2023,” kata FIFA dalam kenyataan yang dikeluarkan seperti dilaporkan Reuters.
Keputusan berkenaan diambil selepas pertemuan yang berlangsung antara Presiden FIFA dan Ketua Umum PSSI, Erick Thohir di Doha, Qatar pada Rabu.
Baru-baru ini demonstrasi mengibarkan bendera Indonesia dan Palestin diadakan di ibu negara itu, Jakarta menuntut agar pasukan bola sepak Israel tidak dibenarkan menyertai kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun 2023.
Gabernor Bali, Wayan Koster dan Gabernor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo turut melakukan bantahan yang sama.
Indonesia merupakan negara yang memiliki penduduk Islam terbesar di dunia.
Negara itu dipilih sebagai penganjur pertandingan edisi 2023 pada Oktober 2019 sedangkan penyertaan pasukan Israel hanya diketahui pada Julai 2022.
Kejohanan Piala Dunia B-20 dijadualkan bermula dari 20 Mei hingga 11 Jun membabitkan 24 negara dan berlangsung di enam lokasi iaitu Bali, Bandung, Jakarta, Palembang, Solo dan Surabaya.
Media tempatan melaporkan FIFA secara rasmi membatalkan undian kumpulan Piala Dunia B-20 yang bakal diadakan pada 31 Mac di Bali.