Argentina perlu kejar Messi, kata Mascherano

Astro Arena
Jun 10, 2018 16:25 MYT
Menurut Mascherano (gambar), Satu harapan untuk Piala Dunia nanti adalah Messi dapat menampilkan aksi terbaiknya. - AP
JAVIER MASCHERANO berharap Lionel Messi akan beraksi di tahap terbaik dalam Piala Dunia 2018 sambil mengingatkan pasukannya agar menyamai kualiti permainan yang ditampilkan bintang Barcelona itu.
Messi akan mengharungi Piala Dunia keempatnya di Rusia, dengan mengharapkan kejayaan dalam edisi kali ini selepas kecewa dalam final empat tahun lalu.
Mascherano tidak menafikan bahawa amat penting buat bekas rakan sepasukannya di Camp Nou itu untuk mempamerkan aksi terbaik.
Mascherano yang memiliki 143 penampilan bersama Argentina dan memenangi lima kejuaraan LaLiga bersama Barca sebelum menyertai Hebei China Fortune turut memandang serius kekuatan barisan pertahanan skuad kendalian Jorge Sampaoli itu.
"Satu harapan untuk Piala Dunia nanti adalah Messi dapat menampilkan aksi terbaiknya kerana ia mempengaruhi seluruh pasukan," kata Mascherano.
"Jelas sekali persembahannya merangkumi satu pasukan dan saya harap rakan sepasukan yang lain dapat memenuhi tahap yang ditunjukkan Messi.
"Selama bertahun-tahun, Argentina dikatakan memiliki barisan serangan yang ampuh, termasuk bakat muda. Namun, saya menganggap prestasi pasukan kebelakangan ini banyak dipengaruhi oleh jentera pertahanan."
Argentina bakal memulakan aksi Piala Dunia di Russia menentang Iceland pada 16 Jun bagi perlawanan pertama Kumpulan D dan Mascherano menegaskan bahawa kekalahan dalam final dalam edisi empat tahun lalu masih segar dalam ingatan skuad La Albiceleste.
"Ia adalah pengalaman yang unik kerana kami tidak pernah menghadapi situasi seperti pada 2014.
"Piala Dunia adalah medan untuk membuktikan segala kebolehan dan kekurangan menerusi sistem yang dimainkan dan corak permainan tetapi segala-galanya bergantung kepada kesungguhan. Ia membawa kami ke final."
#barcelona #Camp Nou #Javier Mascherano #Lionel Messi #Piala Dunia
;