Argentina menang, Maradona pula masuk hospital

Madiha Abdullah
Jun 27, 2018 14:50 MYT
Maradona dibawa ke hospital beberapa minit selepas Argentina mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Piala Dunia. - REUTERS/Matthew Childs
LEGENDA bola sepak Argentina, Maradona, dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital susulan masalah tekanan darah rendah.
Maradona dibawa ke hospital beberapa minit selepas Argentina mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Piala Dunia, apabila mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Nigeria.
Menerusi siaran langsung dan rakaman video penonton, Maradona yang duduk di tempat duduk eksekutif, dilihat langsung tidak duduk diam sepanjang perlawanan.
Ketika gol kemenangan Argentina dijaringkan Marcos Rojo, Maradona dilihat tidak dapat menahan emosi dan bersorak kegembiraan.
Maradona dilaporkan mengalami kesukaran untuk berdiri dan berjalan selepas itu, dan pasukan paramedik terpaksa dipanggil untuk memberi rawatan.
Dalam kemas kini di Facebook, Maradona yang menjadi hero Argentina dalam Piala Dunia 1986, memaklumkan beliau sudah diberi rawatan dan berada dalam keadaan baik.
#Argentina #bola sepak #Hospital #Maradona #Nigeria #Piala Dunia #video
;