ARC: Malaysia mulakan kempen pertahan kejuaraan kalahkan UAE
Bernama
Mei 14, 2017 21:23 MYT
Mei 14, 2017 21:23 MYT
Malaysia memulakan kempen mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen 1 2017 dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 36-22 pada aksi pertama di Padang Ipoh di sini, hari ini.
Skuad Bunga Raya yang baru pulang daripada menjalani latihan intensif di Perth, Australia, mengalahkan UAE yang juga pendatang baharu Divisyen 1, menerusi lima ''try'', empat ''conversion'' dan satu penalti.
Pemain import, Jone Marawa Nasalo muncul wira pasukan apabila melakukan hatrik try, masing-masing pada minit ke-14, 35 dan 45.
Dua lagi try pasukan negara masing-masing menerusi Wong Wye Wye pada minit ke-59 dan Sakiusa Terence Gavidi pada minit ke-73, manakala penalti tunggal skuad Bunga Raya disempurnakan Mohd Fairuz Abdul Rahman pada minit ke-38.
Sementara itu, UAE memperoleh mata hasil tiga try, dua conversion dan satu penalti.
Terdahulu, Sri Lanka menumpaskan Filipina 24-13 hasil dua try, empat penalti dan satu conversion.
Setelah berakhir perlawanan hari ini, Malaysia berada di tangga teratas carta apabila berjaya mengutip lima mata, diikuti Sri Lanka dengan empat mata, seterusnya UAE dan Filipina di tempat terakhir.
Perlawanan kedua ARC 2017 akan berlangsung Rabu ini, yang bakal menyaksikan Malaysia menentang Filipina, manakala UAE berdepan Sri Lanka.
-- BERNAMA