ARAS pamer aksi hebat menjelang suku akhir Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s

Faida Rahim
Jun 29, 2024 21:12 MYT
Pemain MCKK dikejar dua pemain SMSM pada perlawanan Kumpulan F Kejohanan Ragbi MCKK Premier ke-12 2024 di Padang MCKK di Kuala Kangsar, Perak hari ini.- Gambar MCKK
KUALA LUMPUR: Juara Kejohanan Ragbi Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Premier 7s (P7s) 2023, Akademi Ragbi Selangor (ARAS) terus unggul mempamerkan kekuatan dengan menyerlahkan siri persembahan hebat menjelang Suku Akhir Piala.
ARAS mempertahankan gelaran dengan kemenangan unggul 67-0 terhadap Sekolah Menengah Atas Darunnajah (SMAD) dengan 11 try dan enam conversion dalam perlawanan berlangsung di Padang MCKK, Kuala Kangsar pada Sabtu.
ARAS dalam kumpulan A turut menewaskan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK) 36-0, menambah enam try dan tiga conversion.
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 (SSYP1) dalam kumpulan sama mempamerkan kehebatan dengan satu kemenangan 50-0 terhadap SMAD.
Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dalam kumpulan B meraih semula kejayaan dengan satu kemenangan gagah 28-5 terhadap juara 2019, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) hasil empat try dan empat conversion. SSMP meneruskan prestasi mantap mereka dengan menewskan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) 31-0 dengan lima try dan tiga conversion.
Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) dalam kumpulan C menang 24-0 terhadap lawan pendatang baharu, Sekolah Tinggi Guanyin Perbandaran Taoyuan (GHS), kemudian menewaskan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) 28-12 manakala Victoria Institution (VI) menebus kekalahan terdahulu mereka dengan satu kemenangan 17- 5 menentang GHS.
Juara empat kali, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam kumpulan D meraih dua kemenangan besar, 50-0 terhadap Maktab Tentera Diraja (RMC) dan 27-0 menentang Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII) diikuti RMC kalah 26-0 menentang Sekolah Menengah Kebangsaan ABI.
Pasukan tuan rumah, MCKK dalam kumpulan E bangkit dengan kemenangan unggul 49-0 terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael (SMSM).
Juara 2020, Maktab Sultan Abu Bakar/English College (EC) dalam kumpulan F melepasi dua perlawanan pertama mereka, menewaskan Akademi Shizuoka Seiko (SSA) 34-0 dan mengatasi Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) 38-0.
Lapan pasukan terbaik akan diumumkan kemudian, membuka pentas bagi suku akhir Piala esok.
Hari terakhir Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Perdana MCKK 2024 akan menampilkan Perlawanan Akhir Shield, Plate dan Piala dengan Perlawanan Akhir Piala dijadualkan bermula kira-kira 5.15 petang.
#Ragbi #MCKK #aras #perlawanan akhir
;