Arab Saudi sedia bergelar 'hub bola sepak dunia' - Pengarah WFS
Agensi
Mei 26, 2023 08:15 MYT
Mei 26, 2023 08:15 MYT
RIYADH: Arab Saudi bersedia untuk menjadi "hub bola sepak dunia," kata pengasas dan Pengarah World Football Summit (WFS) Asia, Jan Alessie, lapor portal berita Arab News.
Keyakinan itu disuarakan beliau pada majlis praperasmian persidangan kedua WFS, iaitu yang akan diadakan Disember depan dengan menghimpunkan penggiat industri bola sepak global di Riyadh dan dijangka disertai lebih 1,500 wakil dan pemegang taruh dalam ekosistem bola sepak.
Untuk muncul sebagai tumpuan bola sepak dunia, kerajaan Arab Saudi akan menjadi hos bagi pucuk pimpinan kelab-kelab, liga, pertubuhan dan jenama yang berkaitan dengan sukan popular itu dalam usaha mengukukuh masa depan bola sepak.
Dianjurkan dengan kerjasama Kelab Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), WFS Asia akan menampilkan lebih 150 ahli panel selain dijangka lebih 100 wakil media antarabangsa akan hadir dan membuat liputan meluas.
Sepanjang dua hari persidangan yang padat itu, setiap peserta berpeluang meluaskan perniagaan mereka melalui sesi rangkaian strategik dan perkongsian pengetahuan.
Platform ini telah mencapai persetujuan dengan konglomerat Saudi Aljan & Bros Holding dan anak syarikat mereka, SAT Entertainment yang juga firma pengurusan acara untuk menjadi tuan rumah bagi lima edisi seterusnya persidangan di Riyadh.
WFS Asia yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.
"Menganjurkan acara seperti World Football Summit di Arab Saudi sejajar dengan objektif Visi Saudi 2030," kata Timbalan Pengerusi Ajlan & Bros Holding, Mohamed bin Abdulaziz Alajlan.
"Kami sangat yakin dengan kekuatan sukan untuk menyatukan masyarakat dari segenap pelosok dunia dan membina perkongsian komersial yang berharga.
“Populariti bola sepak yang tidak dapat ditandingi memiliki potensi untuk mencipta pekerjaan, meningkatkan pelancongan korporat dan mencipta peluang pembangunan bakat bagi profesional industri ini."
Keputusan untuk menjadi tuan rumah WFS Asia di Arab Saudi menunjukkan kedudukan negara ini yang semakin penting sebagai kuasa sukan global.
Kerajaan ini telah memastikan kedudukan sebagai tuan rumah Piala Asia AFC 2027, Piala Dunia Kelab FIFA selain telah menarik kemasukan bakat bola sepak terunggul seperti Cristiano Ronaldo.
Selain bola sepak, Arab Saudi telah membuat kemajuan signifikan dalam sukan lain termasuk LIV, e-sukan dan banyak lagi.
Kejayaan penganjuran Piala Dunia Qatar tidak lama dahulu juga telah membantu memperkasakan lagi wilayah itu dalam industri sukan global.
WFS Asia mendapat sokongan Kementerian Sukan Arab Saudi, Persatuan Bola Sepak Arab Saudi, Liga Sepak Bola Profesional Arab Saudi dan Persekutuan Bola Sepak Asia.
WFS Asia bertujuan merangsang pertumbuhan dan kerjasama dalam industri bola sepak dengan misi untuk menjadikan persidangan ini sebagai acara tahunan dalam kalendar bola sepak global.
Sejak penubuhannya pada tahun 2016, WFS telah berjaya menarik lebih dari 22,000 peserta dalam 16 acara dan telah membina komuniti global lebih daripada 80,000 eksekutif industri sukan melalui platformnya.
Pengarah WFS melawat Arab Saudi untuk pertama kalinya dan berharap negara ini akan menjadi kediaman keduanya dari sekarang.