Arab Saudi 2-0 Malaysia: Elak bolos besar, tapi tiada percubaan tepat

Astro Arena
Mac 25, 2016 09:19 MYT
Skuad negara terpaksa tunduk pada Arab Saudi dengan jaringan 2-0 di Jeddah malam tadi. - Foto

SKUAD kebangsaan menutup kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dengan kekalahan 2-0 kepada Arab Saudi dalam aksi di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah.

Seperti yang dijangka, Arab Saudi mendominasi perlawanan sejak wisel pertama ditiupkan.

Arab Saudi bagaimanapun memulakan perlawanan dengan berhati-hati namun gemar menukar helah mengubah tempo permainan dan sesekali menggunakan hantaran jauh untuk memerangkap pertahanan negara.

Khairul Fahmi Che Mat berdepan ujian cubaan tepat pertama dari sebelah kanan pintu golnya menerusi Abdullah Al-Zohri pada minit ke-19.

Skuad negara terpaksa membuat pertukaran pertama membabitkan Aidil Zafuan Ab Razak yang digantikan dengan Shahrom Kalam akibat kecederaan pada pertengahan babak pertama.

Pada minit ke-37, gol Mohammad Al-Sahlawi untuk Arab Saudi dibatalkan kerana ofsaid.

Pintu gol Malaysia terus sibuk dan hampir menggandakan kedudukan mereka, namun Brendann Gan menampan cubaan terbuka Omar Othman pada minit ke-42.

Arab Saudi mengekalkan penguasaan mereka pada separuh masa kedua yang menyaksikan lima minit selepas itu untuk menggegar gawang Malaysia.

Arab Saudi bijak memanfaatkan ruang dari sebelah kanan untuk disudahkan Al-Sahlawi ketika pasukan negara cuba mengatur serangan.

Malaysia membuat pertukaran dengan mengeluarkan Wan Zack Haikal dan Matthew Davies.

Pada minit ke-74 giliran Taisir Al-Jassim menambah luka kepada Harimau Malaysia dengan gol kedua perlawanan di ruang sukar.

#Arab Saudi #Harimau Malaysia #Jeddah #Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 #Malaysia
;