JENAMA  Apple dan Samsung dilihat terus mendapat sambutan seterusnya mendominasi senarai 10 telefon pintar paling laku pada Q2 2024 menurut laporan terkini Counterpoint Research.

Melaluinya Apple dilihat mengekalkan bilangan tempat dalam senarai dengan empat model iPhone yang tersenarai.

Sementara itu terdapat penurunan dalam kedudukan yang dipegang oleh Samsung apabila hanya lima peranti berbanding enam peranti yang tersenarai pada Q2 2023.

Satu tempat lagi telah diganti oleh peranti Redmi 13C 4G untuk kali ini sekali gus menunjukkan Xiaomi membuat kemunculan semula yang mengagumkan selepas hampir dua suku berturut-turut senarai itu didominasi sepenuhnya oleh peranti Apple dan Samsung.

Dari segi kedudukan iPhone 15, iPhone 15 Pro Max dan iPhone 15 Pro dilihat terbaik pada suku ini apabila berada kelompok tiga teratas dengan masing-masing mencatatkan pegangan jualan sebanyak 4.1%, 3.7% dan 3.1%.

Ini diikuti oleh peranti kelas asas Samsung Galaxy A15 5G (2.0%) di tempat keempat dan Galaxy A15 4G (1.8%) pula kelima.

Kemudian penurunan dilihat untuk iPhone 14 yang menduduki tangga keenam dengan pegangan jualan sebanyak 1.6% berbanding 4.2% pada Q2 2023.

Berada dalam senarai tersebut adalah Samsung Galaxy A55 (1.5%) yang berada di tangga ketujuh, Samsung Galaxy S24 Ultra (1.4%) dan Samsung Galaxy A05 (1.4%) berada pada tangga kesepuluh.

Penurunan dalam kedudukan sekali lagi dilihat untuk Samsung Galaxy S24 Ultra jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy S23 Ultra yang berada pada tangga kelapan pada Q2 2023.

Mungkin kelihatan bercanggah dengan trend sebuah peranti premium tetapi pelancaran yang diadakan agak awal pada tahun ini mungkin telah mengubah sebahagian daripada jualan sebelum ini.

Xiaomi pula satu-satunya jenama lain dalam senarai dilihat membuat kemunculan kembali melalui model Redmi 13C 4G dengan pegangan jualan 1.5%.

Apakah peranti yang anda gunakan sekarang dan adakah ia ada dalam senarai di atas? -Amanz