Apple Arcade akan bertempur dengan Google Stadia

Ibrahim Sani
Mac 25, 2019 06:32 MYT
Tim Cook mengambil kesempatan untuk melebarkan sayap perkhidmatan secara berbayar, dan bukannya jualan peranti mereka untuk masa yang terdekat ini / Gambar Fail
Setelah sekian lama, Apple hari ini mengumumkan pembabitan mereka dalam pasaran permainan video.
Perkhidmatan ini lebih mirip kepada Xbox Game Pass berbanding dengan Google Stadia. Tetapi ramai akan membandingkan perkhidmatan ini dengan Stadia dari Game Pass kerana ini melibatkan platform yang ditawarkan oleh kedua syarikat teknologi gergasi itu - Google dan Apple.
Para pelanggan berbayar mampu bermain dengan ratusan permainan di platform itu.
Apple Arcade adalah perkhidmatan langganan permainan pertama di dunia untuk telefon bimbit, desktop dan ruang tamu. Platform ini akan menampilkan lebih 100 permainan baru dan eksklusif termasuk keluaran asli dari pencipta terkenal Hironobu Sakaguchi, Ken Wong, Will Wright dan lebih banyak lagi.
Dengan kemudahan langganan tunggal, Apple Arcade akan membawa koleksi tajuk terpilih yang boleh dimainkan, tidak mempunyai iklan, tidak akan ada penjejakan iklan atau pembelian tambahan.
Ia juga akan menghormati privasi pengguna.
Apple Arcade akan dimuatkan ke App Store dan boleh diakses oleh lebih daripada 1 bilion pelanggan permainan.
Setiap permainan akan dibolehkan untuk dimain di luar talian, dan kerana pelanggan boleh memainkan permainan Apple Arcade di seluruh iPhone, iPad, Mac dan Apple TV, mereka boleh memilih untuk bermain di mana sahaja.
Google Stadia sebelum ini telah melancarkan perkhidmatan yang lebih kurang sama. Perbezaan antara kedua platform ini adalah tentang strategi perniagaan yang digunakan oleh kedua syarikat yang berbeza ini.
Google Stadia hanya boleh digunakan di Google Chrome, manakala Apple Arcade mampu digunakan di platform Apple TV, iOS, dan juga Mac. Kandungan yang terdapat di Apple Arcade merangkumi lebih ratusan judul permainan termasuk label yang popular, manakala Google Stadia sudah mendapat judul yang terbaik seperti Doom Eternal, NBA 2K dan Assassin’s Creed Odyssey.
Perbezaan yang ketara antara kedua platform ini adalah tentang penggunaan dalam talian. Google Stadia dimain melalui pengstriman, bermaksud hanya boleh dimain jika ada talian internet. Apple Arcade pula harus dimuat turun untuk dimain.
Harga untuk kedua perkhidmatan ini belum diumumkan lagi, tetapi pasaran Apple Arcade jauh melangkaui pasaran Google Stadia. Arcade akan dipasarkan di lebih 150 buah negara seluruh dunia, manakala Stadia akan dipasarkan di negara Amerika Syarikat, Kanada, dan Eropah.
#Amerika Syarikat #Apple #Google #Internet #iPad #iPhone #video
;