APMC bakal ubah landskap sukan permotoran di rantau ini
Bernama
September 12, 2023 21:17 MYT
September 12, 2023 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik (APMC) yang kali pertama dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Sept hingga 1 Okt ini, bakal merubah landskap sukan permotoran di rantau ini.
Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir berkata penganjuran itu bakal menampilkan bakat terbaik dalam pelbagai disiplin permotoran.
"Kita amat berbesar hati kerana dipilih oleh FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) untuk menjadi tuan rumah. Ia membuktikan kepada kami di MAM dan Malaysia secara keseluruhan untuk menjadi penyumbang dalam pertumbuhan dan pembangunan sukan permotoran di Rantau Asia Pasifik.
"APMC menyasarkan untuk membuka pintu ke pentas antarabangsa, membolehkan mereka yang terlibat berkongsi minat dan kemahiran dengan khalayak lebih luas. Pasukan, pemandu dan peserta akan memperoleh manfaat daripada pendedahan dan pengalaman yang hanya dapat dirasai menerusi penganjuran ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Lima disiplin sukan akan dilangsungkan di bawah Peraturan Pertandingan Kebangsaan MAM yang menggabungkan Kod Sukan Antarabangsa (FIA), iaitu Karting, Karting Slalom, Auto-Gymkhana, Rali dan e-Sukan.
Sebanyak 23 negara menyertai APMC antaranya Australia, Jepun, New Zealand, Singapura dan Korea Selatan.
Sementara itu, pemandu berpengalaman dan pemenang Kejuaraan Endurance Dunia FIA Jazeman Jaafar diumumkan sebagai kapten pasukan Malaysia pada kejohanan kali ini.
-- BERNAMA