Aplikasi Facebook dikemas kini untuk menarik pengguna lebih muda

Amanz
Oktober 5, 2024 11:30 MYT
Facebook memperkenalkan tab Local yang memaparkan kandungan berhampiran pengguna, seperti video, acara, dan barangan di Marketplace. -Amanz
FACEBOOK pada ketika ini mempunyai reputasi sebagai laman media sosial untuk golongan pak cik, mak cik, dan warga emas.

Ringkasan AI
  • Facebook memperkenalkan tab Local yang memaparkan kandungan berhampiran pengguna, seperti video, acara, dan barangan di Marketplace. Tab ini hanya diaktifkan di 10 bandar di Amerika Syarikat buat masa ini.
  • Tab Explore diberikan nafas baharu dengan algoritma yang memaparkan kandungan paling relevan kepada pengguna.
  • Video Reels kini boleh ditonton dalam mod skrin penuh, memberikan pengalaman menonton yang lebih baik dan bersaing dengan TikTok.
  • Ciri Group AI akan diperkenalkan untuk membantu pengguna baharu mencari jawapan kepada soalan yang telah dijawab sebelum ini. Ciri ini sedang diuji di Amerika Syarikat dan Kanada.

Reputasi ini menjadi sebab mengapa jumlah pengguna muda di Facebook lebih rendah berbanding Snapchat dan TikTok.
Pagi ini ketika acara Facebook IRL yang berlangsung di Texas, Meta mengumumkan kemas kini antara muka bagi menarik perhatian pengguna generasi muda.
Perubahan pertama ialah memberikan tab khas untuk “Local” yang memaparkan kandungan yang berkaitan berhampiran dengan pengguna.
Video, acara dan juga barangan di Marketplace yang berada berhampiran akan dipaparkan dengan lebih jelas dalam tab ini.
Tab Local hanya diaktifkan kepada pengguna di 10 bandar di Amerika Syarikat sahaja pada waktu ini sebelum dikembangkan ke lokasi lain.
Tab Explore juga diberikan nafas baharu dengan algoritma yang akan memaparkan kandungan yang dirasakan paling relevan dengan pengguna Facebook.
Meta mengatakan dengan tumpuan kepada kandungan berhampiran lokasi, interaksi dengan acara yang lebih relevan dapat diberikan kepada pengguna. Kandungan dipaparkan dalam susunan grid seakan Pinterest dan Lemon8 yang merupakan pesaing Instagram oleh Bytedance.
Bagi memberikan persaingan kepada TikTok, video Reels juga boleh ditonton dalam mod skrin penuh.
Dengan ini mereka yang ingin hanya menonton video di YouTube boleh melakukannya secara setempat.
Perubahan dilakukan kerana, menurut Meta, pada ketika ini pengguna Facebook menghabiskan 60% waktu dalam aplikasi menonton video.
Dalam Facebook Groups pula, ciri Group AI akan diperkenalkan kelak. Menerusi ciri ini, soalan yang sudah terjawab sebelum ini akan dapat dicari dan diberikan kepada pengguna baharu sesebuah Groups.
Ciri terbaharu ini sedang diuji di Amerika Syarikat dan Kanada. -Amanz
#Facebook #TikTok #golongan muda #media sosial
;