APG: Tangisan gembira ibu iringi kejayaan pemecah rekod Ethan Khoo
Bernama
Ogos 4, 2022 20:35 MYT
Ogos 4, 2022 20:35 MYT
SEMARANG: Ibu kepada perenang para negara, Christina Math Kin Ling menangis kegembiraan apabila melihat anaknya, Ethan Khoo Yin Jun berjaya merangkul pingat emas ketiganya pada temasya Sukan Para ASEAN (APG), di sini.
Selepas memenangi acara 100m gaya bebas lelaki dan 200m rampaian individu sebelum ini, Ethan hari ini merangkul acara 200m gaya bebas lelaki S14 (masalah intelektual) di Pusat Renang Jatidiri di sini.
Perenang berusia 18 tahun itu melengkapkan penampilan sulung pada APG dengan bergaya apabila menggondol emas dengan rekod baharu sukan itu iaitu dua minit 05.250 saat (s), sekali gus memadam rekod 2:14.94s, milik perenang Singapura, Tang Eng Kiong, sejak edisi 2015 di sini.
Ia merupakan rekod kedua Ethan yang menamatkan saingan di hadapan perenang Thailand, Wachirawit In-Choo (2:07.590s) dan perenang tuan rumah, Kevin Ode Natama (2:14.560s), selepas memperbaiki rekod 100m gaya bebas S14 APG, semalam.
Bercakap kepada Bernama selepas majlis penyampaian pingat, Ethan berpuas hati dengan pencapaiannya, lebih-lebih lagi apabila melihat ibu bapanya, Datuk Khoo Thau Yong dan Christina Math, dengan bangganya menyaksikan kemenangannya dari galeri penonton.
"Saya berusaha dengan sungguh gigih berlatih selama tiga tahun tanpa pertandingan berikutan pandemik COVID-19. Akhirnya, saya membanggakan ibu bapa melihat saya menang di luar tanah air buat kali pertama," kata perenang kelahiran Sandakan itu.
Bapanya, Khoo, gembira menyaksikan kerja keras dan usaha anaknya selama beberapa tahun membuahkan hasil termasuk mengikuti latihan selama dua bulan di Australia, menjelang APG.
"Sebenarnya isteri saya hantar dia ke kelab renang, dari situ barulah kami tahu tentang sukan renang para. Dia cemerlang, jadi kini juara APG.
"Apabila kami mendapat tahu tentang keadaannya, kami terpaksa menerima hakikatnya dan tidak pernah meragui anak saya, sepanjang masa kami membantu dan biarkan dia melakukan apa yang dia suka," katanya.
Sementara itu, Pusat Renang Jatidiri terus menjadi kolam lubuk emas bagi kontinjen Malaysia apabila perenang negara menggondol emas dalam kesemua lima acara yang dipertandingkan hari ini.
Perenang Paralimpik Tokyo 2020, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menjuarai acara 50 gaya bebas lelaki S5 dengan mencatat masa 33.35s, memadam rekod 34:50s milik perenang Vietnam, Vo Thanh Tung pada edisi 2015.
Brenda Anellia Larry memenangi acara 100m kuak dada wanita SB4 dengan catatan 2:38.170s, Fraidden Dawan (2:36.44s) memenangi acara 200m rampaian individu lelaki SM10 manakala Lee Kher Zy (3:42s) menang emas acara 200m rampaian individu lelaki SM5.
-- BERNAMA