APG: Tambahan tiga emas, tujuh perak pada hari ketiga
Bernama
Ogos 2, 2022 05:15 MYT
Ogos 2, 2022 05:15 MYT
SOLO: Selepas kejayaan menyambar 10 pingat emas kelmarin, pemburuan emas kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia semalam agak suram, apabila hanya tiga emas diperolehi.
Namun, pujian tetap perlu diberikan kepada para atlet negara yang berjuang berhabis-habisan, untuk meraih tujuh pingat perak dan sebutir gangsa pada hari ketiga temasya, dengan semua pingat masih hadir menerusi sukan olahraga dan renang.
Pingat emas pertama Malaysia pagi semalam hadir menerusi dua kali juara dunia dan Paralimpik Datuk Abdul Latif Romly pada acara lompat jauh F20, manakala Zulkifly Abdullah menghadiahkan perak acara berkenaan.
Satu lagi kilauan emas dari sukan olahraga, hadir menerusi Mohamad Saifuddin Ishak dalam acara lompat jauh T11/12. Acara berkenaan berlangsung kelmarin, tetapi pingat hanya diistiyar secara rasmi pada semalam.
Kem trek dan padang negara juga turut menyumbangkan perak menerusi Muhamad Ashraf Mohamad Mohamad Haisham dalam acara 5,000 meter (m) lelaki T46, Muhamad Nurdin Ibrahim (1,500m lelaki T20), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (200m lelaki T36/37) dan Nur Alia Ardiela Natasya Ibrahim (lompat jauh wanita T20).
Satu-satunya pingat gangsa kontinjen negara setakat ini, hadir menerusi Muhammad Faiz Haizat Rosdi dalam acara 1,500m lelaki T37/38.
Di kolam renang pula, Mohd Adib Iqbal Abdullah merangkul emas acara 50m kuak dada lelaki SB14 dengan mencatatkan rekod baharu kejohanan, manakala Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (200m gaya bebas lelaki S5) dan Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan (100m kuak lentang lelaki S14) menyumbangkan perak.
Tumpuan pada hari ini masih berada di Stadium Manahan dan Pusat Renang Jatidiri, Semarang, iaitu venue olahraga dan renang, yang masing-masing mempunyai tiga dan empat acara di peringkat final.
Malaysia juga berupaya meraih dua gangsa menerusi memanah recurve, apabila S. Suresh beraksi dalam aksi penentuan pingat gangsa acara individu lelaki dan berpasukan lelaki dengan gandingan Nurfaizal Hamzah.
Secara keseluruhannya, Malaysia telah meraih 13 emas, 10 perak dan satu gangsa setakat ini.
Sementara itu, masalah dalam sistem keputusan temasya, terutamanya di venue olahraga, melewatkan pengesahan keputusan rasmi.
-- BERNAMA