APG: Mutu atlet negara 'diangkat' di Kemboja
Bernama
Jun 10, 2023 11:20 MYT
Jun 10, 2023 11:20 MYT
PHNOM PENH: Peminat sukan tanah air boleh menarik nafas lega apabila mutu sukan negara kembali diangkat dengan kejayaan kontinjen Malaysia ke Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 yang bermula 3 Jun lepas dan melabuhkan tirainya, semalam.
Membariskan seramai 144 atlet, dengan 62 daripadanya membuat penampilan sulung di pentas berprestij itu, langsung tidak menyekat mereka untuk membawa pulang 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa, untuk menduduki tangga keempat carta pingat.
Lebih menarik pungutan pingat emas itu melebihi sasaran awal yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia iaitu sekurang-kurangnya 33 emas selepas tiga jaguh negara tidak menyertai temasya dwitahunan itu.
Tiga jaguh yang dimaksudkan ialah pemenang pingat emas Sukan Paralimpik iaitu Datuk Mohd Latif Romly (lompat jauh), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan jaguh badminton para Cheah Liek Hou.
Sukan Paralimpik merupakan sebuah temasya sukan antarabangsa terulung yang melibatkan atlet yang mengalami pelbagai kelainan upaya.
Malah keberanian mempertaruhkan muka baharu dan lama yang disifatkan sebagai gandingan mantap membuahkan hasil apabila angka ke-33 muncul seawal hari keempat pertandingan (6 Jun) menerusi pasangan yang pertama kali digandingkan iaitu Chee Chaoming- Brady Chin dari acara beregu pingpong lelaki (kelas 9- masalah keseimbangan ringan).
Rentak cemerlang itu diteruskan keesokan harinya apabila delegasi Malaysia yang diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2023 Noor Syahieda Mat Shah memadam rekod 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa pada edisi lalu, di Solo, Indonesia.
Atlet 'luar biasa' ini telah membuktikan slogan 'Demi Malaysia' bukanlah sekadar omong kosong sebaliknya lahir daripada lubuk hati paling dalam dan dizahirkan dengan perjuangan bermatian-matian demi memastikan Malaysia gah di pentas Asia Tenggara itu.
Skuad renang yang disasarkan untuk menuai 17 emas, 11 perak dan 17 gangsa, sekali lagi menjadikan sukan air itu sebagai lubuk emas dengan pungutan 26 emas, 12 perak dan 10 gangsa.
Abd Halim Mohammad merupakan penyumbang terbesar pingat apabila merangkul 5 emas dan 1 gangsa serta mencatat nama sebagai pemegang rekod tiga acara iaitu 200 meter (m) rampaian individu lelaki, 50m gaya bebas lelaki dan 50m kuak dada lelaki bagi kategori S8-kecacatan fizikal, sekali gus muncul atlet terbaik negara Malaysia.
Abd Halim ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak menyangka mampu menyandang gelaran itu apabila misi kali ini hanyalah mempertahankan dua gelaran (100m kuak dada dan 50m kuak dada) yang dimenangi di Solo.
"Alhamdullilah, saya rasa lega dan bersyukur tamatkan pertandingan dengan kemenangan besar. Ia seperti membalas dendam apabila pada Para Sukan Malaysia yang lalu saya dicalonkan sebagai olahragawan namun tidak memenanginya.
"....mungkin bukan rezeki saya di situ tetapi di Kemboja. Saya yakin apa yang diperoleh hari ini adalah berkat ajaran jurulatih Eva Wong yang tanpa jemu mengajar saya," katanya.
Pasukan olahraga tidak kurang hebatnya apabila membawa pulang 14 emas, 15 perak dan 10 gangsa, manakala badminton (3-1-6); powerlifting (2-6-2), ping pong (2-3-1); judo (1-0-1); boccia (1-0-1) dan bola sepak cerebral palsy (1-0-0).
Sementara itu, skuad bola sepak buta meraih satu pingat perak, pasukan bola keranjang berkerusi roda (dua gangsa); goalball (satu gangsa) manakala catur tidak menghadirkan sebarang pingat.
Noor Syahieda berkata kejayaan di Kemboja adalah tanda positif bahawa negara tidak kekurangan atlet para berbakat yang mampu memberi saingan di pentas antarabangsa dengan acara terdekat ialah pada Sukan Para Asia 2022 Hangzhou, di China Oktober ini.
"Memang masa mula-mula datang terdapat beberapa rintangan tetapi kami sudah bersedia untuk atasinya. Pada saya, keputusan yang diraih hari ini menunjukkan semangat juang atlet yang sentiasa mahu memberi kembali kepada Malaysia.
"Ketika sudah mencapai 33 pingat itu sendiri memang hebat jadi pada hari terakhir (semalam) capai angka 50 itu memang benar-benar tunjukkan kemampuan atlet kita," katanya.
Secara keseluruhannya, Indonesia mempertahankan gelaran juara keseluruhan carta kedudukan pingat dengan merangkul 159 pingat emas, 148 perak dan 94 gangsa, sekali gus memegang gelaran itu buat kali keempat selepas edisi Solo 2022, Myanmar 2013 dan Kuala Lumpur 2017.
Thailand menghuni tangga kedua dengan meraih 126-110-92 dan dikuti Vietnam (66-58-77) di tangga ketiga.
-- BERNAMA